7 Pasukan Dari Malaysia Yang Pernah Beraksi di Peringkat Asia

1) Selangor FA

Merupakan salah satu kelab tertua dan paling banyak menyertai kejohanan peringkat benua sejak dari penubuhannya pada 1926. Di awal penyertaan mereka dalam kejohanan Asia Club Championship (kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara AFC) Selangor berjaya menjadi naib johan selepas tewas kepada kepada kelab Israel, Hapoel Tel Aviv.



Dalam era 2000 pula, mereka beberapa kali melayakkan diri ke peringkat kumpulan bagi saingan Piala AFC dan pencapaian terbaik mereka hadir pada 2006 dan 2013 apabila mereka layak ke peringkat pusingan 16 terbaik dan juga suku akhir.

2) Perak FA

Bakal turun bertemu Kitchee dalam perlawanan playoff Liga Juara-Juara Asia pada malam ini, Perak pernah beberapa kali menyertai kejohanan peringkat Asia yang bermula dengan penyertaan mereka dalam Asian Champion Club Tournament pada 1969 dan 1971.

Pada 2003, mereka muncul sebagai pemenang tempat ke 3 dalam kejohanan ASEAN Club Championship. Antara pemain yang membarisi skuad Perak ketika itu adalah Frank Seator dan juga Indra Putra.

Mereka juga pernah menyertai Piala AFC pada 2004 dan 2005. Musim pertama menyertai kejohanan kedua terbesar di Asia itu mereka layak ke peringkat suku akhir sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh Geylang United dari Singapura.

4) Johor Darul Ta’zim FC

Jika berbicara tentang kejohanan peringkat benua, Johor Darul Ta’zim adalah satu nama yang tidak boleh ditinggalkan. Mereka mula menyertai kejohanan di peringkat Asia pada musim 1996-1997 dan ketika itu masih dikenali sebagai Johor FA.

Sejak diambil oleh pengurusan baru dan melalui penjenamaan semula sejak 2013, mereka mula menyertai kejohanan Piala AFC pada 2015 dan muncul juara selepas menewaskan Istiklol. Satu pencapaian yang agak menakjubkan memandangkan mereka adalah kelab pertama dari Asia Tenggara dan juga Malaysia yang berjaya untuk merangkul kejuaraan tersebut.

Tahun-tahun berikutnya menyaksikan mereka tidak pernah ketinggalan untuk menyertai kejohanan kedua terbesar Asia itu apabila sentiasa saja menjadi wakil Malaysia bermula dari tahun 2015 hinggalah tahun 2018.

Untuk tahun ini pula, skrip sedikit berbeza buat JDT apabila mereka bakal menjadi kelab pertama dari Malaysia yang beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia bersama kelab-kelab ternama dari seluruh benua Asia.

4) Kedah FA

Pasukan dari Utara ini juga pernah menyertai kejohanan kejohanan Asia Club Championship (kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara AFC) pada tahun 1994 dan Piala AFC iaitu pada tahun 2008 dan 2009 setelah muncul juara ‘treble’ dalam saingan domestik. Perjalanan skuad Sang Kenari ketika itu juga agak cemerlang apabila mereka layak ke pusingan ke dua dan juga suku akhir. Antara pemain yang membarisi skuad Kedah ketika itu adalah Victor Andrag, Fauzi Shaari, Baddrol Bakhtiar, Nelson San Martin dan juga Marlon Alex James.

5) Kelantan FA

Walaupun kini hanya beraksi di Liga Premier, skuad Kelantan yang gah dengan nama gelaran The Red Warriors sebelum ini juga pernah membuat kemunculan di Piala AFC selama tiga musim berturut dari 2012 hingga 2014.

Pencapaian terbaik mereka di kejohanan tersebut hadir dalam edisi 2012 apabila mereka layak pusingan suku akhir sebelum ditewaskan kelab Iraq, Arbil.

Kejayaan mereka pada 2012 juga menjadi lebih manis apabila mereka berjaya menewaskan seteru Pantai Timur mereka iaitu Terengganu FA di pusingan kedua sebelum melangkah ke pusingan suku akhir.

6) Terengganu FC 1

Sebelum dikenali sebagai TFC 1, skuad sang Penyu ini juga pernah membuat kemunculan tunggal mereka di dalam saingan peringkat Asia pada 2012.

Pada tahun tersebut, Terengganu berjaya melepaskan diri dari peringkat kumpulan yang turut disertai Song Lam Nge Anh dan juga Tampines Rovers untuk mara ke pusingan kedua.

Walaubagaimanapun, hasrat mereka untuk pergi lebih jauh terbantut apabila mereka ditunjukkan jalan keluar oleh musuh tradisi mereka, Kelantan FA dalam perlawanan yang berkesudahan dengan jaringan 3-2 di Kota Bharu.

7) Pahang FA

Pahang FA juga merupakan salah satu pasukan di Malaysia yang paling banyak membuat penampilan di peringkat Asia. Bermula dengan penyertaan mereka dalam kejohanan Asian Club Championship pada era 90an sehinggalah ke penyertaan mereka dalam Piala AFC pada 2005 hingga 2015.

Pencapaian terbaik skuad Tok Gajah dalam kejohanan peringkat Asia hadir pada tahun 2015 di mana mereka layak ke peringkat suku akhir sebelum dikalahkan oleh naib juara musim itu iaitu FC Istiklol yang kemudiannya melangkah ke perlawanan akhir untuk bertemu JDT.

Seandainya mereka menewaskan Istiklol di peringkat suku akhir, peluang untuk menyaksikan dua wakil dari Malaysia ketika itu adalah sangat cerah dan bakal terpahat dalam lipatan sejarah buat selama-lamanya.