Scholes hanya perlu 24 jam nikmati kemenangan

LONDON: Bekas bintang Manchester United, Paul Scholes membuat permulaan sempurna dalam karier pengurusannya tatkala Oldham membelasah Yeovil 4-1 dalam aksi League Two, pagi tadi.

Scholes mengambil langkah sulung untuk mencuba nasib dalam bidang pengurusan selepas bersetuju melatih bekas pasukan yang disokongnya sejak kecil.



Pengendali berusia 44 tahun itu secara rasminya diperkenalkan kelmarin dan 24 jam kemudian dia sudah menikmati detik kemenangan sulung dalam saingan divisyen empat England itu.

Ketika pasukan lamanya United tewas di tangan Paris Saint-Germain (PSG) hanya beberapa kilometer dari situ, bekas perancang tengah England itu pula menyaksikan dari tepi garisan persembahan bergaya Oldham.

“Memang lega dan saya kini boleh tidur lena malam ini,” kata Scholes, yang hanya menetap beberapa minit saja dari stadium Oldham.

“Selepas perlawanan, saya bercakap ‘Tahniah semua’. Ia amat sukar malam ini dan sebenarnya bukanlah perlawanan yang sepatutnya berkesudahan 4-1, namun saya tetap bangga dengan cara pemain bertarung.

“Saya mahu mereka beraksi dengan baik dan menikmati perlawanan. Penyokong hanya ingin saksikan perlawanan yang menghiburkan dan itu apa yang disajikan oleh kami.”

Jose Baxter meletakkan Latics di depan pada masa kecederaan babak pertama dan Callum Lang menanduk masuk gol kedua sejurus aksi bersambung.

Bevis Mugabi kembali merapatkan jurang buat Yeovil pada minit ke-54 di Boundary Park.

Namun, jaringan minit ke-88 Mohamed Maouche memastikan Oldham akhirnya selesa sebelum Christopher Missilou meledak jaringan voli untuk melonjak pasukan itu ke tangga ke-11. – AFP