Alves fokus perkasa benteng Kedah

ALOR SETAR: Pemain import pertahanan Kedah, Renan Alves enggan terlalu seronok dibuai pujian daripada penyokong walaupun berjaya menghasilkan gol pertama peribadi untuk skuad Lang Merah pada aksi kedua Liga Super menentang Perak yang berkesudahan seri 1-1 Jumaat lalu.

Pemain kelahiran Rio De Janeiro, Brazil berusia 26 tahun yang kini digelar ‘Mat Nan’ menganggap usaha yang terhasil itu akan terus membakar semangatnya untuk terus membantu Kedah mencapai kemenangan bertemu FELDA United di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.



“Jaringan gol pertama itu memang penting tetapi membantu pasukan meraih mata itu adalah perkara lebih utama selain semangat juang oleh rakan sepasukan yang sama penting.”

“Berhadapan dengan FELDA United kali ini kita perlu berhati-hati kerana mereka memiliki corak permainan pantas dan untuk itu kita harus terus fokus dan bekerja keras memburu kejayaan.”

“Saya cabar diri sendiri untuk beraksi sehabis baik untuk pastikan benteng pertahanan Kedah dapat menepis setiap cubaan bahaya pihak lawan.”

Alves turut yakin dengan perancangan taktikal ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak yang mudah dilaksanakan sekali gus mampu meletakkan Kedah ditahap terbaik pada saingan Liga Super musim ini.

“Saya dapat menerima taktikal yang dirancang oleh Jurulatih Aidil dengan baik dan ini juga diyakini oleh semua pemain import dan juga pemain tempatan lain yang bersama-sama menunjukkan sikap penuh semangat.”

“Kami satu pasukan yang baharu dan dengan persefahaman yang terjalin ini, kami mahu meningkatkan lagi tahap permainan dari satu tahap ke satu peringkat dengan lebih baik.”

Dengan sokongan padu daripada penyokong Kedah seperti ditunjukkan dalam dua perlawanan awal, Alves yakin api perjuangan pemain Lang Merah terus menyala di tempat sendiri kali ini.