Juventus buru Salah, sedia korbankan Dybala

TURIN 14 Feb. – Juventus dilaporkan mahu mendapatkan khidmat penyerang Liverpool, Mohamed Salah dan bersedia menawarkan Paulo Dybala dengan tambahan 50 juta euro (RM229.01 juta) bagi merealisasikan impian itu.

Salah berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang bintang ternama Liga Perdana Inggeris sejak berhijrah dari Roma pada 2017.



Musim lalu, bintang Mesir itu meledak 43 gol dalam semua pertandingan bersama Liverpool dan menamatkan saingan di kedudukan keempat untuk mara ke saingan Liga Juara-Juara.

Bintang The Reds itu kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak dengan 17 gol bersama Sergio Aguero dan prestasi semasanya menjadikannya sasaran perpindahan pemain dengan Juventus merupakan salah satu pasukan yang berminat.

TuttoSport melaporkan bahawa Juventus sedang merancang untuk mendapatkan Salah dari Liverpool pada musim panas ini dan juara Itali itu bersedia untuk menukarkan pemain tersebut dengan Dybala beserta tambahan wang tunai.

Tawaran itu dibuat kerana Juventus enggan mengeluarkan belanja besar selepas dipercayai Liverpool mahukan bayaran 200 juta euro (RM916.04 juta) untuk Salah.

Gergasi Serie A itu dipercayai mahu mencipta jentera serangan terbaik dunia untuk musim hadapan dengan menampilkan Salah bersama Cristiano Ronaldo.-AGENSI