VIDEO Jaringan lewat Asensio penyelamat Real Madrid

Marco Asensio is delighted after scoring what proved to be the winning goal for Real Madrid against Ajax

AMSTERDAM: Real Madrid memerlukan gol lewat babak perlawanan oleh Marco Asensio dan penggunaan Sistem Penolong Pengadil Video (VAR) bagi membolehkan pasukan itu menewaskan Ajax Amsterdam 2-1 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Ajax tidak pernah menewaskan Real dalam tempoh 24 tahun dan mereka dilihat di landasan tepat untuk melakukannya buat kali pertama di Arena Johan Cruyff selepas Nicolas Tagliafico menanduk masuk gol buat pasukan tuan rumah.



Bagaimanapun, jaringan itu kemudiannya dibatalkan apabila pengadil, Damir Skomina mendapati Dusan Tadic berada dalam kedudukan ofsaid selepas meminta bantuan rakaman video.

Penyerang Real, Karima Benzema membuka tirai jaringan buat pasukan itu pada minit ke-60 tetapi Ajax berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol yang dihasilkan Hakim Ziyech pada minit ke-75.

Bagaimanapun, Asensio muncul wira Real apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-87 sekali gus memberi kelebihan buat pasukan itu menjelang aksi kedua di Santiago Bernabue.

Sebaik wisel penamat dibunyikan, barisan pemain Ajax mengerumuni pegawai perlawanan bagi membantah keputusan yang dibuat dalam perlawanan itu.




VAR diperkenalkan buat kali pertama dalam aksi pusingan kalah mati Liga Juara-Juara musim ini yang menyaksikan pihak media dimaklumkan sebelum saingan bermula hanya kesilapan yang benar-benar jelas boleh dirujuk kepada rakaman video sistem berkenaan.

Bagaimanapun, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menerusi Twiterr rasmi badan induk itu menjelaskan gol Ajax sememangnya ofsaid.

“Kami tidak boleh menyaksikan rakaman video. Kami perlu yakin dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil,” kata jurulatih Real, Santiago Solari.

Sementara itu, jurulatih Ajax, Erik ten Hag berkata: “Pada pandangan saya, ia tidak ofsaid dan saya tidak rasa ia adalah kekasaran yang dilakukan ke atas penjaga gol (Real0,” katanya. – AFP