Menang tipis, Chelsea kembali bernyawa

PARIS: Chelsea melakar kemenangan 2-1 ke atas Malmo dalam aksi pertama pusingan 32 terbaik, sebentar tadi, sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapi pengendali pasukan itu, Maurizio Sarri.

Skuad The Blues terdesak bagi menghasilkan keputusan positif dalam perlawanan itu selepas dimalukan dalam dua perlawanan terakhir iaitu tewas 0-6 di tangan Manchester City dan dan 0-4 kepada Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris.



Ross Barkley meletakkan pasukan pelawat di depan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-30 sebelum Olivier Giroud menambah gol kedua buat Chelsea minit ke-58.

Bagaimanapun, Malmo berjaya mendapat satu gol pada lewat babak perlawanan menerusi Anders Christiansen sekali gus membuka kembali peluang untuk mara ke pusingan seterusnya menjelang aksi kedua di Stamford Bridge minggu depan.

Chelsea bakal berdepan Manchester United dalam aksi Piala FA, awal pagi Selasa ini waktu Malaysia sebelum bertemu City untuk aksi final Piala Liga pada 24 Februari.

“Saya gembira kerana kami bermain dengan penuh keyakinan dan ia bukan perlawanan yang mudah selepas perlawanan terakhir kami (tewas kepada City).

“Saya fikir saya sentiasa yakin tetapi ada masanya kami menerapkan permainan yang salah dalam sesuatu perlawanan. Jadi, kami perlu lebih berhati-hati dalam setiap perlawanan,” kata Sarri.

Sarri menyenaraikan barisan terkuatnya dalam kesebelasan utama kecuali Gonzali Higuain dan Eden Hazard yang diletakkan dibangku simpanan. – AFP