VIDEO Arsenal tewas, Inter dan Sevilla menang tipis

Bate midfielder Stanislav Dragun (2nd right) gives the home side the lead with a header in the final minute of the first half

LONDON 15 Feb.- Arsenal menerima kejutan dalam aksi pusingan pertama 32 pasukan terbaik kempen Liga Europa selepas tewas 0-1 kepada BATE Borisov di Borisov Arena, awal pagi tadi.

Kekalahan itu juga turut menyaksikan penyerang The Gunners, Alexandre Lacazette dilayang kad merah sekali gus pemain itu tidak dapat beraksi dalam perlawanan timbal balik kedua di Stadium Emirates.



Stanislav Dragun meletakkan BATE di depan pada akhir babak pertama dan Arsenal gagal untuk mencari gol penyamaan sehingga tamat perlawanan.

Arsenal dibawah kendalian Unai Emery kini hanya memenangi dua daripada sembilan perlawanan terakhir mereka, menang ke atas Huddersfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris, minggu lalu dan Blackpool untuk aksi Piala FA.

Sementara itu, Inter Milan menang tipis 1-0 ke atas Rapid Vienna biarpun beraksi tanpa Mauro Icardi yang tidak disenaraikan dalam pasukan selepas dilucutkan jawatan selaku kapten susulan konflik yang timbul dalam kontraknya.

Lautaro Martinez muncul wira Inter apabila meledak gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti pada minit ke-39.

Juara lima kali, Sevilla turut meraih bekalan tipis menjelang aksi kedua dalam misi layak ke pusingan 16 terbaik apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas Lazio di Rome menerusi jaringan Wissam Ben Yedder minit ke-22.

Kelab Portugal, Benfica meneruskan rentak cemerlang mereka selepas membelasah Nacional 10-0, hujung minggu lalu dalam saingan domestik dengan kali ini menundukkan Galatasaray 2-1. – AFP