Kedah belasah Felda, Nidzam kecewa kejutan tak menjadi

Image may contain: 4 people, people playing sport and outdoor

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih FELDA United, Nidzam Jamil kecewa selepas perancangannya untuk melakukan kejutan keatas Kedah pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam tidak menjadi kenyataan selepas skuadnya pula tewas dengan jaringan 0-4.

“Saya akui perancangan kita adalah untuk melakukan kejutan keatas Kedah tapi akhirnya kita pula yang dikejutkan.”



“Tak banyak yang kita boleh buat dalam perlawanan menentang Kedah ini kerana mereka (Kedah) memiliki kualiti permainan yang sangat berbeza.”

“Keputusan 4-0 malam ini adalah keputusan yang ‘gila’ sedikit dan kita harus bangkit semula kerana kita setelah kita mencuba akhirnya kita akui malam ini kualiti kita berbeza.”

Nidzam turut mengakui skuadnya perlu bersaing dari segi kualiti, corak serangan yang jelas digunakan dengan bijak oleh Kedah untuk menjerat anak buahnya.

“Mereka berhak menang malam ini dan boleh dikatakan Kedah adalah antara pencabar tertinggi Liga Super kerana jika mahu membandingkan kami (FELDA) dengan Kedah adalah jauh dan kami perlu berusaha lebih untuk sampai ke tahap itu.”

“Saya akui pemain saya telah memberi aksi seratus peratus cuma ianya tidak cukup dan kita perlu tingkatkan lagi keupayaan dan kekuatan pasukan kita dalam latihan.”

Terdahulu Bermula garang di depan lebih 15,000 penyokong, skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak memulakan tekanan menerusi percubaan Baddrol Bakhtiar seawal minit pertama diiukuti percubaan Fernando Rodriquez seminit kemudian namun gagal mendapatkan gol awal.

Kedah akhirnya menemui sentuhan gol pertama pada minut ke-16 hasil percubaan Zaquan Adha Abd Radzak yang menewaskan Norazlan Razali.

Tersentak dengan jaringan pertama, pelawat bangkit meningkatkan serangan menerusi percubaan Kei Ikeda pada minit ke-18 sebelum berjaya ditangkap kemas Ifwat Akmal.

Sebelum babak pertama berakhir, Kedah menambah jaringan menerusi Anmar Al Mubaraki pada minit ke-41 dengan cubaannya melepasi jangkauan penjaga gol.

Seminit selepas babak kedua bermula, Kedah terus melakukan serangan ke gawang dan hampir menambah gol ketiga hasil cubaan Jonathan Bauman tetapi sekadar singgah di tiang gol lawan.

Pemain pertahanan, Shakir Hamzah menambah derita FELDA United hasil gol ketiga pada minit ke-53 dengan tandukan kencang hasil hantaran sepakan sudut Baddrol.

Pelawat terus buntu mencari bekalan gol apabila percubaan Kei Ikeda pada minit ke-65 hanya singgah di gawang.

Pemain muda, Fadzrul Danel terus memastikan Kedah selesa dengan gol keempat pada minit ke-73 dan kedudukan itu kekal hingga penamat.