PKNS FC malukan Selangor di Shah Alam

SHAH ALAM: Apa sudah jadi dengan Selangor?

Ketika pasukan itu dicanang sebagai antara pasukan yang mampu menjadi pencabar kejuaraan Liga Super musim ini, sebaliknya berlaku selepas Gergasi Merah dilihat masih lagi belum bangkit daripada lena yang panjang.

Selepas sekadar seri berdepan dua pendatang baharu – FELDA United dan PJ City FC sebelum ini, anak buah B Sathianathan terus kempunan mencari kemenangan pertama musim ini selepas diaibkan pasukan ‘adik’, PKNS FC 4-0 pada aksi di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.



Pencapaian dua mata daripada tiga perlawanan ini nyata jauh lebih buruk jika dibandingkan dengan pencapaian musim lalu yang menyaksikan skuad The Red Giants berjaya mengutip enam mata daripada tiga perlawanan pertama.

Pada aksi terbabit, perlawanan bermula seimbang apabila kedua dua pasukan memperagakan corak permainan berhati hati dan saling berbalas percubaan dengan Selangor melakukan sekurang kurangnya tiga percubaan namun gagal menggugat gawang PKNS FC.

Bagaimanapun, pelawat mengejutkan tuan rumah selepas sepakan sudut Chan Vathanaka ditanduk deras Nicolas Ryan Swirad untuk gol pembukaan perlawanan pada minit ke-26 yang juga gol peribadi keduanya musim ini.

Ketika Selangor perlu bangkit selepas ketinggalan 1-0, mereka sebaliknya kehilangan rentak ketika saingan memasuki minit ke-35 namun terselamat selepas ketumpulan jentera serangan PKNS FC gagal menyudahkan beberapa percubaan dilancarkan ke gawang tuan rumah.

Bersambung babak kedua, PKNS FC hanya memerlukan empat minit untuk melenyapkan semangat Selangor apabila melebarkan jurang menerusi Kpah Sherman yang melakukan satu cubaan lambung mengatasi jangkauan Khairul Azhan Khalid untuk gol kedua pelawat.

Berkelebihan dua gol, PKNS FC tidak mahu menunjukkan belas kasihan kepada pasukan ‘abang’ dengan pemain import Kemboja, Vathanaka menambah luka Selangor menerusi gol ketiga pada minit ke-79 sebelum Romel Morales Ramirez melengkapkan malam gemilang pelawat dengan gol keempat pada minit ke-90.