VIDEO Madrid tewas mengejut kepada Girona

MADRID: Real Madrid melepaskan kelebihan mereka dan mungkin juga harapan mengejar Barcelona apabila Girona bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kejutan menang 2-1 di Santiago Bernabeu, malam ini.



Girona tidak menang dalam 13 perlawanan dan berada di landasan untuk tewas buat kali ketujuh berturut-turut apabila Casemiro menanduk masuk buat Madrid pada babak pertama.

Bagaimanapun sebaliknya berlaku apabila Girona mengambil sepenuhnya peluang ketika Cristhian Stuani menjaringkan penalti dan satu lagi jaringan menerusi Portu menyebabkan juara Eropah itu gagal mengutip sebarang mata ketika Sergio Ramos turut dibuang padang pada minit ke-90.

Barcelona menewaskan Real Valladolid dengan satu gol semalam tetapi persembahan kurang bertenaga mereka menunjukkan ketidaktentuan buat skuad Catalan itu yang akan ke Bernabeu bulan ini.

Pertembungan Clasico itu kini kurang mendebarkan kerana jurang dimiliki Barca bertambah kepada sembilan mata mengatasi Real, dengan Atletico kembali di atas mereka di kedudukan kedua, tujuh mata di belakang pendahulu.

Kekecewaan buat jurulatih Santiago Solari jelas apabila mereka sudah mengawal keadaan berdepan Girona namun pada akhirnya lawannya itu menang. – AFP