Bayern Munich harapan wakil kelab Jerman

PERTAHANAN Bayern Munich, Javi Martinez (kiri) bersama Rafinha

BERLIN 19 Feb. – Bayern Munich bukan sahaja mencari kemenangan pertemuan menentang Liverpool dalam Liga Juara-Juara malah penyandang Bundesliga itu turut membawa bebanan untuk memastikan sekurang-kurangnya satu kelab dari Jerman layak ke suku akhir kejohanan.

Sejak 2006, sekurang-kurangnya satu pasukan dari Jerman mara ke peringkat lapan pasukan terakhir.



Bagaimanapun, kebanggaan tersebut akan lenyap jika Bayern mengalami kekalahan besar dalam aksi pertama kalah mati di kejohanan berprestij di Eropah itu sebelum menghadapi perlawanan timbal balik pada 13 Mac.

“Anda tidak boleh sebarang kesilapan dalam perlawanan seperti ini namun saya fikir kami boleh meletakkan Liverpool dalam kesusahan. Kamia da skuad yang bagus untuk melepasi peringkat ini jika semua yang dirancang menjadi,” kata pemain tengah Bayern, James Rodriguez.

Bagaimanapun, keyakinan Bayern untuk beraksi di Anfield goyah apabila mereka terpaksa bangkit dua kali sebelum menewaskan Augsburg 3-2 dalam aksi Bundesliga di mana Rodriguez digantikan dengan Thomas Muller pada minit ke-56 selepas tidak memberi impak kepada pasukan.

Walaupun berada di atas zon penyingkiran, Augsburg menjadi pasukan terbaharu Bundesliga yang mendedahkan kelemahan pertahanan Bayern dengan melakukan serangan balas pantas.

“Semuanya perlu dipertingkatkan, kami perlu ingat bahawa kami akan menentang Liverpool. Kami perlu menunjukkan aksi yang berbeza kerana ini aksi di peringkat antarabangsa dan itu memerlukan tumpuan yang lebih,” ujar jurulatih Bayern, Niko Kovac.

Selepas Borussia Dortmund kalah 0-3 kepada Tottenham pada minggu lalu manakala Schalke akan bertemu juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, Rabu ini telah membuatkan Bayern menjadi harapan terbaik untuk mewakili Jerman ke suku akhir kejohanan. – AFP