Chelsea disingkir United, Sarri tidak risau dipecat

Image result for sarri united fa cup

LONDON: Maurizio Sarri menegaskan dia tidak risau dipecat sebagai pengendali Chelsea selepas anak buahnya disingkirkan oleh Manchester United pada pusingan kelima Piala FA.

Sarri bergelut mempertahankan jawatannya selepas Chelsea, juara bertahan Piala FA tewas 2-0 di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Ander Herrera menanduk masuk gol pembukaan United pada minit ke-31 hasil hantaran lintang Paul Pogba.



Pogba kemudian menambah jaringan United sebelum rehat, juga menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada Marcus Rashford.

Ketika ditanya sama ada dia bimbang sekiranya pemilik kelab, Roman Abramovich akan memecatnya, Sarri berkata: “Ia bukan masalah saya.

“Saya hanya bimbang tentang kedudukan saya ketika saya berada di League 2 di Itali, bukan sekarang.

“Saya risau tentang keputusan, bukan tentang peminat. Sudah tentu saya memahami situasinya.

“Saya boleh faham situasi peminat, kerana keputusan tidak berapa baik. Kita terkeluar daripada Piala FA.”

Sarri juga percaya keadaan akan bertambah baik sekiranya Chelsea mula mencatat deretan kemenangan, bermula dengan aksi 32 terakhir Liga Europa Khamis ini menentang Malmo dan final Piala Liga menentang Manchester City pada Ahad.

“Ia sangat mudah. Jika kita menang tiga atau empat perlawanan berturut-turut, ia akan menjadi mudah. Sudah tentu ia sukar untuk menang lima perlawanan berturut-turut,” katanya. – AFP