K. Rajagobal dedah taktikal PKNS kalahkan Selangor 4-0

Image result for PKNS F.C.

Dalam perlawanan di antara Selangor menentang Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) ahad lalu, anak buah K. Rajagobal berjaya meraih kemenangan besar mengalahkan Red Giants dengan jaringan 4-0.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu mendedahkan bahawa perancangan pada awalnya untuk bermain secara agresif tidak mendatangkan hasil yang memberangsangkan terutamanya dalam separuh masa pertama.



Lantas, beliau melakukan sedikit perubahan dengan mengarahkan para pemainnya untuk bermain secara ‘counter attack’ disamping mengambil peluang ke atas kesilapan-kesilapan pemain Merah Kuning.

Selain daripada perubahan taktikal yang membuahkan hasil, ‘King Gopal’ turut memuji disiplin anak buahnya yang mengekalkan momentum sepanjang perlawanan sehingga berjaya menembusi gawang yang dikawal oleh Khairul Azhan sebanyak 4 kali.

“Saya katakan kepada pemain, kita perlu berfikir mengenai kekuatan yang kita ada dan tidak perlu terburu-buru. Kita cuba untuk mengganggu keyakinan mereka. Kita bermain secara agresif pada permulaaan perlawanan namun nampak ia tidak begitu menjadi. Sebab itulah kita menukar taktikal dan menunggu peluang menerusi serangan balas pantas.

“Kita menunggu Selangor melakukan kesilapan dan kami berjaya mendapatkan gol. Walaupun selesa dengan kelebihan dua gol, pemain dapat mengekalkan disiplin sehingga memperolehi gol ketiga dan keempat,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Kemenangan besar tersebut memberikan ‘signal’ kepada pasukan-pasukan lain bahawa skuad Semut Merah masih mempunyai kualiti untuk memberikan saingan walaupun dibarisi dengan majoriti pemain-pemain muda dek kerana bajet kewangan yang terhad pada musim ini.

Namun begitu, pengendali berusia 62 tahun ini lebih selesa merendah diri dan menganggap saingan liga masih lagi awal disamping PKNS FC belum diuji dengan pasukan-pasukan yang lebih hebat seperti Kedah, Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT).


“Kita tahu tidak mudah untuk meraih kemenangan apatah lagi dengan keputusan besar sebegini. Pemain mengikut arahan yang diberikan dengan tepat dan pujian harus diberikan atas kesungguhan pemain yang terus berusaha walaupun mendahului perlawanan.

“Apapun, secara keseluruhan, ia satu keputusan yang baik namun kita tidak boleh cepat berpuas hati kerana kita tahu semua pasukan Liga Super sememangnya kuat,” katanya lagi.

Perlawanan seterusnya, anak buah K. Rajagobal akan berentap dengan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), pada sabtu ini di Stadium Shah Alam. – foxsport