Ramai lagi akan ‘cabut’ tinggalkan Perlis – Safee

Image result for Safee Sali khyril perlis

KUALA LUMPUR: Giliran siapa pula yang bakal meninggalkan Perlis selepas ini?

Skuad Singa Utara kemungkinan besar bakal menerima nasib lebih parah selepas beberapa lagi pemain pasukan itu dijangka akan turut ‘cabut’ untuk meninggalkan pasukan terbabit.



Bekas penyerangnya, Safee Sali yang sah meninggalkan pasukan itu semalam tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada beberapa pemain yang akan mengikut jejak langkahnya selepas kecewa dengan pengurusan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji mereka.

“Saya rasa mungkin ada yang akan meninggalkan pasukan ini kerana mereka juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kehidupan sendiri.

“Mereka pun sudah berfikir panjang dan menunggu selama dua bulan. Sudah tentu sebarang keputusan yang diambil adalah demi keluarga mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Universiti Malaya (UM), semalam.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menegaskan pasukan itu sama sekali tidak akan lumpuh meskipun ramai tonggaknya dikatakan mahu angkat kaki sebelum jendela perpindahan pertama ditutup, esok.




Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie menjelaskan pihaknya tidak akan ‘menutup pintu’ sekiranya ada pemain lain yang membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan selepas berdepan tunggakan gaji selama dua bulan.

Kata Ahmad Amizal, PFA sudah bersedia dengan perkara terbabit dan mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan skuad Singa Utara mampu meneruskan saingan dalam Liga Perdana seperti biasa.

“Kami ada perancangan supaya pasukan dapat terus beraksi dan antara perancangan yang akan diambil termasuklah menyerap masuk beberapa pemain muda ke skuad utama,” katanya.