‘Kami dah jangka berakhir seperti ini’ – pemain Perlis

Related image

KANGAR 20 Feb. – “Kami sudah jangka nasib Singa Utara akan berakhir seperti ini (dibatalkan dari Liga Malaysia 2019).”

Begitu ujar Kapten Perlis Northern Lions II, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, setelah sekian lama curiga dengan kemampuan sumber kewangan Pasukan Bola Sepak Perlis (PFA) sejak awal musim lagi.



Menurutnya, sejak dia dan 17 orang rakan pasukan tidak dibayar tujuh bulan tunggakan gaji untuk musim lepas, mereka mulai syak sesuatu yang tidak kena.

“Akhirnya terbukti dan apa yang kami bimbang berlaku juga,” katanya dalam satu kenyataan yang dikirim melalui Whatapp kepada wartawan malam ini.

Sehubungan itu Ezzrul Ikmanizar menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat latar belakang Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.




Katanya, individu itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala apa yang berlaku kepada PFA.

“Selain itu, Presiden (Ahmad Amizal Shaifit) juga telah tidak menandatangani kontrak kami (musim ini) walaupun pemain diarah tanda tangan,” katanya.

Ezzrul Ikmanizar adalah antara 11 orang pemain Northern Lions II yang mendedahkan nasib mereka yang terpaksa membuat kerja sambilan setelah tidak dibayar gaji tujuh bulan, pada musim lepas.

Hari ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan PFA pada 18 Februari lalu. – UTUSAN