Akibat mulut Klopp didenda RM240k

LONDON 22 Feb. – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp didenda 45,000 pound (RM239,540) oleh Persatuan Bolasepak England selepas membuat tuduhan melulu ke atas pengadil perlawanan ketika aksi menentang West Ham yang berakhir dengan seri 1-1 awal bulan ini



Selepas aksi di Stadium London itu, pengendali dari Jerman ini mendakwa pengadil, Kevin Friend lebih memihak kepada West Ham selepas membuat kesilapan membenarkan gol jaringan Sadio Mane yang jelas terbukti James Milner yang membuat hantaran sebelum itu telah terlebih dahulu ofsaid.

Berikutan itu, Klopp mendakwa Friend cuba menebus kesilapannya itu dengan membuat pengadilan berat sebelah lebih kepada West Ham dalam baki perlawanan selepas itu sehingga terhasilnya gol penyamaan.




“Jurgen Klopp didenda selepas menerima tuduhan yang dijatuhkan ke atasnya oleh FA England kerana mengeluarkan kenyataan susulan daripada aksi Liverpool menentang West Ham United pada 4 Februari lalu,” kata FA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Sebelum ini pada Disember tahun lalu, Klopp turut didenda 8,000 pound (RM42,000) selepas menceroboh masuk ke dalam padang untuk memeluk penjaga golnya, Alisson Becker bagi meraikan kemenangan lewat permainan ke atas Everton di Anfield. – AFP