Tersingkir di AFF B22, Kim Swee yakin dapat barisan terkuat untuk AFC B23

Skuad muda negara gagal untuk meneruskan kemaraan dalam kejohanan AFF Bawah 22 kali ini walaupun mencatat kemenangan 1-0 ke atas pasukan Myanmar dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Jumaat.

Kemenangan yang diraih dalam perlawanan tersebut tidak membawa sebarang makna apabila pencabar terdekat mereka untuk ke saingan seterusnya, Indonesia turut berjaya meraih tiga mata penuh dalam perlawanan menentang Kemboja.



Mengulas mengenai keputusan tersebut, ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan mereka tidak boleh menyalahkan sesiapa berhubung kegagalan mereka di samping mengakui kekalahan dalam perlawanan pertama menjadi satu pengajaran yang sangat berguna buat mereka.

“Perlawanan pertama kita gagal untuk mendapatkan sebarang mata. Mungkin itu pengajaran yang cukup bermakna.

Menurut pengendali berusia 48 tahun itu, apa yang penting selepas ini adalah untuk melakukan persediaan lebih awal bagi menghadapi pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B23 yang bakal berlangsung tahun ini.

Beliau juga turut melaungkan keyakinan bahawa skuad kendaliannya bakal mendapat kekuatan penuh bagi menghadapi pusingan kelayakan memandangkan tarikh kejohanan tersebut termasuk dalam kalendar antarabangsa FIFA sekaligus membolehkan pasukan melepaskan pemain masing-masing untuk menyertai skuad negara.

Mengulas mengenai isu beberapa pasukan yang tidak melepaskan pemain mereka untuk menyertai kejohanan kali ini, Kim Swee memberitahu apa yang penting adalah apa yang ditunjukkan oleh pemain-pemain yang menyertai kejohanan kali ini dan bukannya yang tidak bersama pasukan.

“Mereka membuktikan mereka ingin bersama pasukan ini untuk ke pusingan kelayakan dan ini memberi saya kelebihan apabila tiba masanya nanti untuk memanggil pemain-pemain tertentu ini di mana mereka membuktikan walau tanpa beberapa pemain mereka masih mampu untuk beraksi dengan baik.”

Dalam perlawanan tersebut, skuad bawah 22 tahun negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa pertama melalui penyerang negara, Hadi Fayyadh dan kedudukan kekal hingga ke wisel penamat.