Pahang, Selangor kongsi mata di Kuantan

KUANTAN: Pasukan Pahang gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini, sebentar tadi.



Tuan rumah memperoleh jaringan menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-34 manakala Rufino Segovia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-62.

Jaringan Wan Zaharulnizam itu berpunca daripada hantaran Jose Eduardo yang dilakukan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.

Bersambung babak kedua, skuad Tok Gajah menggandakan asakan dalam usaha melebarkan jurang gol tetapi berjaya disekat pertahanan lawan.

Pada minit ke-61, Segovia yang berasal dari Sepanyol menebus kekecewaan pada separuh pertama apabila berjaya menewaskan Helmi Eliza Alias untuk gol penyamaan 1-1.

Ketika aksi memasuki minit ke-72, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan, Herold Goulon dilayangkan kad merah oleh Mohd Fairuzi Mat Desa selepas mengutip kad kuning kedua.

Kemasukan Dickson Nwakaeme yang menggantikan Norshahrul Idlan Talaha selepas itu juga tidak banyak membantu untuk merekodkan kemenangan.