Alasan Ahmad Amizal undur diri

Image result for Ahmad Amizal perlis

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie menegaskan bahawa tindakannya meletak jawatan bukan disebabkan cuba melarikan diri daripada sebarang tanggungjawab, sebaliknya lebih kepada soal keselamatan diri dan keluarganya.



Ahmad Amizal berkata, keputusan tersebut dilakukan selepas beliau menerima ugutan daripada pelbagai pihak sehingga beliau berasa keselamatan diri dan keluarganya terancam.

Selain itu, jelasnya, tindakannya melepaskan jawatan juga bagi membuka ruang agar ada individu yang lebih layak mampu menerajui skuad Singa Utara.

“Saya tidak lari. Saya mengambil keputusan meletakkan jawatan semalam (kelmarin) selepas memikirkan keselamatan diri dan keluarga apabila menerima lebih kurang 10 ugutan daripada pelbagai pihak.

“Sekarang saya mahu ke mana-mana pun se­perti sudah tidak selamat dan apa yang lebih pen­ting, keluarga menjadi keutamaan kepada diri saya.

“Keluarga di kampung juga menghubungi saya dan bertanyakan me­ngapa perkara sebegini boleh terjadi sehingga ke tahap sekarang.

“Sebelum ini, saya ada meluahkan hasrat untuk meletakkan jawatan, namun semalam secara rasminya saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada PFA.




“Apa pun, pengunduran ini juga sebagai salah satu langkah untuk membuka peluang kepada individu lain yang lebih layak, bukan bermakna saya cuba larikan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, tindakan Ahmad Amizal dilihat sukar diterima oleh kepimpinan skuad Singa Utara ketika ini memandangkan timbul persoalan siapa yang bakal bertanggungjawab terhadap masalah yang terpalit kepada pa­sukan Perlis.

“Buat masa sekarang, saya enggan memberikan komen tentang apa-apa perkara termasuk soal gaji kerana pastinya ia bakal membuat keadaan terus menjadi panas.

“Apa pun, saya tetap berterima kasih kepada PFA yang sebelum ini memberikan sokongan kepada saya meskipun tidak menjangkakan perkara sebegini boleh berlaku,” katanya.