Kepa tiada niat ingkar arahan Sarri

Image result for Kepa Arrizabalaga

LONDON 25 Feb. – Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga menegaskan dia tidak berniat untuk menentang arahan Maurizio Sarri selepas kontroversi tercetus ekoran keeng­ganannya di bawa keluar padang sewaktu perlawanan akhir Piala Liga menentang Manchester City di Stadium Wembley, hari ini.

Kepa enggan berbuat demikian pada masa tambahan dalam aksi yang berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti, walaupun Sarri mahu menggantikannya yang mengalami kekejangan dengan penjaga gol, Willy Caballero.



Sikap degil penjaga gol Sepanyol itu telah mencetuskan kemarahan ramai pihak yang tidak mematuhi arahan pengurus pasukan dan Kepa juga gagal menyekat Chelsea daripada ditimpa kekalahan menerusi penentuan penal­ti, meskipun berjaya menye­lamatkan sepakan Leroy Sane.

“Saya perlu nyatakan di sini ia hanya salah faham. Saya tidak berniat untuk tidak mematuhi arahan bos. Ia hanya salah faham, kerana saya perlu dirawat oleh pasukan perubatan sebanyak dua kali. Sarri pula menyangka saya tidak dapat menerusikan permainan.

“Kekeliruan itu berlaku dalam dua atau tiga minit sehinggalah pasukan perubatan kembali ke bangku simpanan, dan mereka menjelaskan semuanya berada dalam keada­an baik. Masalah yang menimpa saya hari ini juga tiada kena mengena dengan kecederaan (hamstring) sebelum ini.

“Ia memang salah faham, kerana dia menyangka saya tidak dapat meneruskan permainan, dan saya pula cuba menjelaskan saya tidak ce­dera. Mereka yang berada di bangku simpanan ingat saya tidak dapat beraksi, kerana saya jatuh buat kali kedua.

“Ketika itu telah masuk masa tambahan. Kami pula banyak berlari, jadi dengan menjatuhkan badan antara satu cara menghentikan perlawanan bagi membolehkan kami bernafas. Saya sedar ramai yang bercakap mengenai hal ini, tetapi ini pandangan saya,” kata Kepa.

Perlawanan yang terikat dengan keputusan seri 0-0 itu, akhirnya berpihak kepada Manchester City yang menjuarai Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti 4-3. – AGENSI