Tan Cheng Hoe tunaikan permintaan Kim Swee

Image result for kim swee tan cheng hoe

Ketua jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee meminta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar tidak menyenaraikan pemain daripada skuad bawah 23 tahun dalam kejohanan Piala Airmarine 2019 yang akan berlangsung pada 20hb hingga 23hb Mac hadapan.



Ini kerana, Datuk Ong Kim Swee turut mempunyai misi penting iaitu membawa skuad B-23 negara mengharungi kelayakan Kejuaraan AFC B-23 yang akan berlangsung pada 22hb hingga 26hb Mac kelak di Kuala Lumpur.

Justeru, perkara tersebut telah diajukan oleh pihak FAM kepada ketua jurulatih skuad senior, Tan Cheng Hoe dan mendapat persetujuan daripada pengendali berusia 51 tahun tersebut.

“Ia juga atas permintaan Kim Swee dan kami telah memaklumkan perkara ini kepada Cheng Hoe supaya memilih pemain yang lain,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi seperti dilaporkan oleh Bernama.

Antara empat pemain tunjang skuad senior yang tidak akan dipanggil oleh Tan Cheng Hoe pada kejuaraan 4 penjuru yang julung kali diadakan pada Mac kelak ialah Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Syahmi Safari.

Tan Cheng Hoe yang juga ketua jurulatih Kedah FA suatu masa dahulu melahirkan keyakinan bahawa keempat-empat pemain tersebut mampu membantu skuad B-23 negara mara sekali lagi ke saingan AFC B-23 sepertimana yang mereka lakukan pada edisi 2018 lalu.

“Empat pemain ini berkemampuan untuk membantu skuad kendalian Kim Swee bagi saingan B-23,” kata Cheng Hoe.

Dalam pusingan kelayakan kelak, Harimau Muda telah diundi dalam Kumpulan J bersama-sama China B-23, Laos B-23 dan Filipina B-23. Juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir yang akan dianjurkan di Thailand pada tahun hadapan.

Sementara itu, bagi cabaran Piala Airmarine 2019, Tan Cheng Hoe bakal memanggil nama-nama lain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh empat pemain tersebut. Disamping itu, kejuaraan itu juga menjadi medan buat Harimau Malaya untuk memperbaiki ranking dunia.

“Dalam masa sama, kami mahukan kemenangan buat skuad kebangsaan bagi meningkatkan ranking skuad negara. Tetapi persetujuan telah dicapai bagi membantu skuad B-23 negara.” jelasnya lagi.