TMJ nafi JDT dapat ihsan penalti

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak bahawa skuad Harimau Selatan mendapat ‘ihsan’ daripada pengadil Liga Malaysia (Liga M).

Dakwaan berkenaan dipercayai timbul dalam kalangan peminat selepas juara bertahan Liga Super lima kali berturut-turut itu sudah mendapat empat sepakan penalti dalam empat perlawanan awal liga musim ini.



Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) membuat penafian itu dalam kenyataan di Facebook, JOHOR Southern Tigers sebagai mengulas laporan BH Sukan, hari ini mengenai beberapa tuduhan atau dakwaan dilemparkan terhadap skuad Harimau Selatan.

Selain sering kali didakwa mendapat ‘bantuan’ daripada pengadil apabila diberikan sepakan penalti, netizen atau warganet di alam maya mula menggelar ‘Jenalti’ merujuk kepada perkara berkenaan .




Melaka United menjadi pasukan kedua paling banyak menerima penalti bagi musim ini dengan dua sepakan penalti buat pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan.

Sementara itu, tiga pasukan – Selangor, FELDA United dan PJ City FC – masing-masing menerima satu sepakan penalti setakat ini.

Menerusi kenyataan sama, TMJ turut mengakui salah satu daripada sepakan penalti ketika berdepan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super, 15 Februari lalu tidak sepatutnya diberikan kepada skuad Harimau Selatan.

“Saya akui bahawa salah satu daripada sepakan penalti sewaktu menentang Terengganu mungkin dilabelkan ‘soft’. Tetapi mereka yang memahami peraturan bola sepak akan bersetuju bahawa untuk sepakan penalti yang lain, sememangnya ia perlu diberikan kepada JDT,” katanya.