Masalah terbesar dalam JDT adalah saya! – TMJ

KUALA LUMPUR 27 Feb. – “Masalah terbesar dalam JDT adalah saya!”

Itu hantaran yang dimuat naik pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) hari ini yang telah menarik perhatian penyokong skuad Harimau Selatan.

Bagaimanapun, selepas membaca keseluruhan hantaran tersebut, Tunku Mahkota Johor (TMJ) hanya meluahkan isi hati, termasuk keghairahan untuk melihat JDT menjadi sebuah pasukan yang hebat sejak mengambil alih kelab pada 2013.



JST turut berkongsi pengorbanan yang telah dilakukan TMJ daripada segi masa, tenaga dan wang ringgit sebelum berjaya meletakkan pasukan itu sehebat hari ini.

“Adakala Tunku Ismail terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga apabila terlalu banyak masa diluangkan bersama keluarga JDT.

“Telah menjadi rutin seharian, apabila selesai sahaja menunaikan solat subuh Tunku Mahkota Johor akan terus memikirkan dan merencanakan perjalanan JDT.

“Begitu juga apa yang berlaku di waktu malam, Tunku Ismail akan meneliti dan melihat kembali perlawanan-perlawanan yang melibatkan Harimau Selatan.

“Pusat latihan tertutup Padang Seri Gelam pula umpama taman reakrasi istimewa bagi anakanda baginda apabila sering dibawa melihat latihan yang telah dijalankan,” tulis JST.

Di Malaysia, penajaan dalam pasukan atau kelab bola sepak menjadi perkara utama.

Kebanyakan pasukan atau kelab tempatan menjadikan ia salah satu talian hayat untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam liga domestik, namun berbeza dengan JDT.




Memang benar, penajaan itu elemen penting namun JDT tidak terlalu bergantung kepada penaja, malah Tunku Ismail sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri tanpa berkira mengenai berapa banyak wang ringgit yang perlu dilaburkan.

“Kadang-kadang saya terpaksa meminjam wang daripada baginda Sultan untuk JDT (ketawa),” kata Tunku Ismail.

Menurut JST lagi, menjadi pemilik kepada kelab yang telah mencatat sejarah gemilang di tanah air bukannya sesuatu yang mudah.

Tunku Ismail perlu menghadap kecaman, fitnah dan kata-kata nista daripada golongan yang mencemburui kejayaan Harimau Selatan.

Ia umpama seperti hidangan makanan yang menjadi santapan wajib setiap hari.

“Saya akan mengangkat JDT ke satu tahap yang lebih tinggi, itulah ikrar saya,” kata TMJ tenang biarpun dikelilingi orang-orang yang mencemburuinya. – UTUSAN