Mengaku sengaja buat salah, UEFA dakwa Ramos

PARIS: Pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos didakwa oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) atas tuduhan ‘sengaja mengundang kesalahan kad kuning’ dalam perlawanan peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara bertemu Ajax.



Pemain kebangsaan Sepanyol itu dilayangkan kad kuning atas kekasaran yang dilakukan ke atas Kasper Dolberg ketika Real menang 2-1 pada aksi pertama di Amsterdam, 14 Februari lalu, dua minit selepas Marco Asensio meledak gol kemenangan.

Tiga kesalahan kad kuning bermakna satu penggantungan tetapi Ramos mungkin tidak beraksi pada aksi timbal balik menentang Ajax di Madrid bagi mengelak potensi terlepas aksi di peringkat berikutnya.

UEFA berkata kes Ramos mungkin dibicarakan, esok.

Badan induk bola sepak Eropah itu pada musim lalu menjatuhkan hukuman gantung dua perlawanan terhadap pertahanan tengah Real, Dani Carvajal atas kesalahan sengaja mengundang layangan kad di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Kapten Real, Ramos, 32, selepas perlawanan mengakui dia sengaja mendapatkan kad kuning tetapi menafikannya sehari kemudian.

“Kebenarannya adalah berpandukan kepada keputusan, saya akan berbohong jika berkata ia tiada dalam fikiran saya,” kata Ramos menerusi satu temubual.

“Ia tidak berniat untuk memandang rendah pihak lawan tetapi kadang kala ada masanya keputusan perlu dibuat dan saya sudah melakukannya.”

Real yang berusaha untuk merangkul gelaran keempat berturut-turut Liga Juara-Juara akan melayan kunjungan Ajax di Santiago Bernabeu pada 6 Mac ini. – AFP