PSG mampu rangkul tiga gelaran

PEMAIN tengah PSG, Angel Di Maria (kanan) melakukan rembatan untuk

PARIS 27 Feb.- Paris Saint-Germain (PSG) di landasan terbaik untuk menjulang Piala Perancis buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan Dijon 3-0 dalam perlawanan suku akhir, awal pagi tadi.



Jaringan Angel Di Maria pada minit kelapan meletakkan juara bertahan itu di depan sebelum menambah gol kedua peribadinya sebelum waktu rehat, disusuli gol ketiga Thomas Meunier dalam perlawanan di Stadium Parc des Princes.

Skuad kendalian Thomas Tuchel dilihat mempunyai peluang cerah menjulang tiga gelaran musim ini, apabila mereka turut mendahului Ligue 1 dengan kelebihan 17 mata.




Selain itu , PSG turut mempunyai kelebihan ke atas Manchester United menjelang perlawanan timbal balik pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, minggu hadapan selepas menang 2-0 dalam aksi pertama.

Neymar dan Edinson Cavani yang mengalami kecederaan dijangka tidak dapat diturunkan menjelang perlawanan menentang United.

Dalam aksi Piala Perancis, pengendali dari Jerman itu memuji aksi ditampilkan pemain baharunya, Leandro Paredes.

“(Paredes) bermain dengan amat baik pada babak pertama, seperti keseluruhan pasukan dan dia pemain yang mampu melakukan hantaran tepat serta berperanan memulakan gerakan dan cepatkan hantaran,” kata Tuchel. – AFP