Rodgers kini pengurus baharu Leicester City

LONDON 27 Feb.-Brendan Rodgers secara rasmi dilantik sebagai pengurus baharu Leicester City dengan perjanjian selama tiga tahun sementara Neil Lennon kembali ke Celtic sehingga berakhirnya musim ini bagi menggantikan kekosongan yang ditinggal pengendali itu.

Bekas pengurus Liverpool, Rodgers berjaya menjulang tujuh trofi domestik selepas hampir tiga musim mengambil alih kelab gergasi Glasgow itu dan meninggalkan skuadnya dengan lapan mata di kedudukan teratas Liga Perdana Scotland.



“Brendan, 46, sudah menandatangani perjanjian bersama Foxes sehingga Jun 2022 dan akan berada di Stadium King Power bagi perlawanan lewat malam liga menentang Brighton dan Hove Albion.

“Beliau akan mengambil alih skuad buat kali pertama dalam perlawanan di Watford, Ahad ini,” kata Leicester dalam satu kenyataan.

Leicester memecat Claude Puel pada Ahad lalu selepas kekalahan 4-1 kepada Crystal Palace yang menyebabkan juara Liga Perdana Inggeris 2015/16 itu berada di kedudukan ke-12.

Bagaimanapun, The Foxes berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas Brighton, awal pagi tadi dengan gol dijaringkan Demarai Gray dan penyerang Jamie Vardy.

Sementara itu, Rodgers mengakui Leicester mempunyai barisan pemain yang baik dan bersedia memberi yang terbaik untuk kelab tersebut.

“Di Leicester City, asasnya sudah ada bagi kami berkembang dan merangkul lebih banyak perkara. Saya harap dengan pengalaman saya ada dan bakat pemain yang ada dalam skuad akan membantu mencipta kejayaan bersama.

“Saya sangat beruntung dan mendapat penghormatan ini untuk berada di sini sebagai pengurus Leicester City dan saya akan memberikan segala-galanya untuk memastikan penyokong berbangga dengan kelab mereka ini,” katanya. – AFP