Belasah Bournemouth, Arsenal kejar Spurs

LONDON: Unai Emery meminta Arsenal mengambil peluang mengejar Tottenham dalam pertemuan di utara London pada Sabtu ini selepas mengetepikan Bournemouth 5-1 pada awal pagi ini untuk merapatkan jurang kepada empat mata di belakang Spurs.



Emery menggunakan Mesut Ozil dan Henrikh Mkhitaryan sebagai perancang utama yang mempamerkan persembahan cemerlang buat The Gunners untuk kekal satu mata di depan Manchester United bagi berada di kedudukan keempat liga.

Kemenangan 2-0 Chelsea kepada Tottenham di Stamford Bridge bermakna jurang antara kedudukan di tempat ketiga dan keenam dibezakan dengan tujuh mata sahaja bagi pertarungan untuk mendapat dua tempat di Liga Juara-Juara, musim hadapan.

“Ya ia adalah motivasi yang besar,” kata Emery mengenai peluang untuk merapatkan jurang dengan Spurs di tempat ketiga.




“Kami mempunyai peluang besar Sabtu ini, mereka waktu ini lebih baik daripada kami dalam kedudukan.”

Arsenal juga dibantu dengan kelemahan pertahanan yang ditunjukkan Bournemouth apabila Cherries mencatatkan kekalahan ke-10 berturut-turut mereka di tempat lawan.

“Ia adalah malam yang sukar bagi kami, mendahului di awal permainan dan kami tidak dapat memulihkannya,” kata pengurus Bournemouth, Eddie Howe.

“Kami tidak bagus dalam mana-mana aspek permainan sama ada secara fizikal dan mental. Kami perlu terima kelemahan itu secara jujur.” – AFP