Gol Suarez hantar Barca ke final Copa del Rey

PEMAIN Barcelona meraikan kejayaan mereka mara ke final Copa del

MADRID 28 Feb. – Misi Barcelona untuk merangkul kejuaraan Copa del Rey buat kali kelima berturut-turut hampir direalisasikan apabila mereka layak ke final setelah menewaskan Real Madrid 3-0, dua gol dijaringkan oleh Luis Suarez.

Bagaimanapun, Madrid dilihat mendominasi permainan pada 45 minit pertama namun tiga gol yang dijaringkan oleh Barca membolehkan juara bertahan itu mara ke final kejohanan tersebut dengan kemenangan agregat 4-1.



“Selain Lionel Messi kami mempunyai pemain lain yang boleh menjaringkan gol. Luis pemain yang menakjubkan dalam sejarah Barca. Kami tahu dia sentiasa ada bersama pasukan,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

Barcelona yang sudah pun membelasah Madrid 5-1 di Nou Camp pada Oktober lalu dan kedua-dua pasukan itu akan bertemu sekali lagi dalam aksi La Liga dan berdasarkan sehingga kini berdasarkan jumlah jaringan terkumpul Barca sudah mengatasi 9-2 sepanjang tiga pertemuan pada musim ini.

“Kami amat sedih kerana kami mahu bermain di final namun kami perlu pandang ke depan, kami perlu lakukan apa yang patut namun kami tidak memanfaatkan peluang dengan baik, berbanding mereka,” kata jurulatih Real Madrid, Santiago Solari.




Skuad kendalian Valverde akan bertemu sama ada Valencia atau Real Betis dalam aksi final lima kali berturut-turut yang akan berlangsung pada 25 Mei ini. – AFP