MFL tolak rayuan Perlis sertai semula Liga M

HARAPAN untuk melihat Perlis kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019 musnah apabila rayuan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) ditolak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).



Keputusan sebulat suara yang dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL itu sekali gus menyaksikan skuad Singa Utara tiada lagi dalam kalendar perlawanan Liga M dan peminat Perlis boleh menunggu tahun hadapan untuk berbuat demikian.

MFL dalam kenyataan media hari ini berkata, penolakan rayuan itu disebabkan dokumen rayuan yang dikemukakan tidak memenuhi kehendak yang ditetapkan.

Katanya, PFA sepatutnya menyediakan dokumen jumlah wang penajaan dan perancangan masa depan PFA bagi mengukuhkan kewangan.

“Perlis dimaklumkan bahawa surat dari peguam itu mesti menunjukkan wang berada di dalam akaun. Perlis turut dimaklumkan bahawa ia tidak boleh menjadi surat untuk mengatakan bahawa wang akan didepositkan dalam akaun jika rayuan diterima.




“Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan bersama penaja berpotensi Perlis bertemu dengan Sekretariat MFL bertarikh 26 Februari lalu untuk mengemukakan dokumen bertujuan rayuan di mana penaja berpotensi Perlis bersama mereka.

“Dalam mesyuarat itu, Perlis merayu untuk kekal dalam Liga Perdana dan menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk menyertai Liga M3 kerana ia akan membawa kepada penarikan penaja mereka.

“Selepas mengkaji dokumen yang dikemukakan PFA, surat dari peguam penaja berpotensi menyatakan bahawa penaja berpotensi hanya akan mendeposit dana penajaan sebanyak RM8,000,000 jika rayuan Perlis dibenarkan.

Ini jelas tidak memenuhi tuntutan MFL yang mahu dana penaja dimasukkan terlebih dahulu dalam akaun berkenaan.

“Berikutan itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk menolak rayuan Perlis dan keputusan untuk menyingkirkan Singa Utara daripada Liga Premier 2019 dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.