Ada syarikat sedia taja Perlis

Image result for Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan mendedahkan pihaknya dijanjikan tajaan oleh sebuah syarikat jika Perlis diterima beraksi semula pada Liga Malaysia (Liga M).



Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama syarikat tersebut.

“Saya yakin rayuan berserta dokumen kewangan yang dikemukakan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ada merit untuk menyokong permohonan kami,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Semalam, PFA mengemukakan rayuan untuk kembali beraksi dalam kancah bola sepak negara dengan menyerahkan dokumen sokongan kepada Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik.




MFL membatalkan penyertaan Perlis pada saingan Liga M berikutan dokumen kewangan PFA didapati tidak cukup sumber pendapatan untuk menguruskan pasukan bagi bersaing pada Liga M musim ini.

Mohd. Abdul Karim Khan berkata, keputusan rayuan itu akan diketahui dalam masa terdekat dan ketika ini pemain masih meneruskan latihan seperti biasa di Kangar.

Perlis yang bermain pada saingan Liga Premier memenangi satu perlawanan ke atas pasukan UiTM FC dan tewas kepada UKM FC dan JDT II sebelum penyertaannya pada Liga Premier dibatalkan oleh MFL. – Bernama