Mehmet Durakovic kecewa pasukan tidak sempurnakan peluang

Image result for terengganu 1-1 perak

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic ternyata kecewa apabila pasukannya terikat 1-1 dengan Terengganu dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.



Dalam perlawanan itu, Perak membuka tirai jaringan pada minit ke 72 menerusi jaringan Wander Luiz, tetapi Terengganu mendapat sepakan penalti pada minit ke-88 yang disempurnakan oleh Lee Tuck.

“Kami sepatutnya menang perlawanan ini selepas mendapat begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol. Tetapi Terengganu pasukan yang bagus dan beraksi di laman sendiri dengan pemain-pemain yang bagus. Kami kecewa, tetapi kami bermain lebih baik daripada mereka. Kami sepatutnya membawa pulang tiga mata berbanding sekadar satu mata.”

Satu lagi perkara yang telah menjadi perhatian ramai dalam perlawanan itu adalah apabila pengadil perlawanan meniup wisel penamat walaupun masa tambahan masih berbaki empat minit. Kejadian tersebut menyebabkan pasukan Perak berang kerana merasakan tempo permainan mereka diganggu ekoran insiden tersebut.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Pengadil meniupkan wisel penamat walaupun masih ada empat minit masa tambahan. Jadi pembantu pengadil memanggil pengadil dan ketika itu pemain sudah keluar dari padang. Mungkin ianya sekadar satu salah faham di antara pengadil dan pengadil keempat.”

Perak kini menghuni tangga kelapan liga dengan pungutan tiga mata dan belum mencatat sebarang kemenangan lagi. Selepas ini Perak akan beraksi menentang Petaling Jaya City di Ipoh.