Piala FA: Kontroversi nombor 6 dan 9 bukan isu besar – MFL

Image may contain: 8 people, people smiling, people standing and suit

Kontroversi yang tercetus ketika undian pusingan kedua Piala FA 2019 di Damansara Perdana pada Isnin, yang mana Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Christopher Raj memegang terbalik nombor bagi posisi pasukan sehingga menyebabkan berubahnya jadual perlawanan, bukan satu isu besar.

Demikian menurut Pegawai Eksekutif Perundangan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Azzairi Rosle yang berharap tiada pihak sengaja cuba mensensasikan isu kesilapan teknikal tersebut.



Jelas Azzairi yang menjadi juruaudit merangkap pemerhati undian itu bersama Setiausaha Agung Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Faisal Jamal dan Ketua Unit Undang-Undang FAM, Shahida Bashirah Hishamuddin, kesemua 31 pasukan telah berpuas hati dengan undian pusingan kedua Piala FA yang dijalankan itu tanpa timbul sebarang keraguan terhadap integriti Malaysian Football League (MFL).

Kontroversi tercetus apabila Christopher Raj memegang terbalik nombor 6 (posisi pasukan) menyebabkan ianya disangka sebagai nombor 9 sekali gus menyaksikan Kelantan yang dicabut untuk posisi itu akan bertemu Selangor, bukannya menentang Selangor United. Sebaliknya Selangor United akan menentang Kedah yang dicabut untuk posisi 9.

Apa yang menghairankan, Kelantan, Kedah, Selangor United mahupun Selangor, tiada satupun pasukan yang tampil membuat bantahan akan situasi tersebut.

“Sebenarnya kami bertiga telah mengambil sepakat bahawa sekiranya tidak ada bantahan daripada pasukan-pasukan, jadi rasanya tiada masalah. Dengan semua (pasukan) menyaksikan pengurusan atau proses-proses undian tersebut, sepatutnya kita melihat bahawa kesilapan itu daripada nombor 6 dan 9 itu bukan satu isu besar.

“Malah, pasukan-pasukan telah pun dimaklumkan segera oleh MFL mengenai kesilapan pengecaman itu dan saya difahamkan MFL telah bertemu dengan pasukan masing-masing. Jadi, mereka sendiri tiada masalah dengan isu dan kami berpendapat majlis undian ini berlangsung secara adil dan telus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pengurus Kedah, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan menegaskan pihaknya tidak menyalahkan MFL atau mana-mana pihak di atas kesilapan teknikal berlaku sebaliknya mendedahkan skuad Helang Merah telah bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pasukan.

“Kesilapan itu tidak perlu diperbesarkan dan saya secara peribadi menganggap Kedah sudah bersedia untuk bertemu mana-mana pasukan dalam Piala FA tidak kira mereka itu adalah Pahang, Terengganu atau Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali pun.

“Ini adalah perkara normal dalam undian dan kamu harus bersiap sedia untuk mana-mana pasukan yang diundi bertemu kamu. Jadi, saya fikir Kedah tidak cepat melatah di sebalik kesilapan teknikal tersebut dan MFL telah bertindak pantas memberitahu situasi sebenar,” ujarnya. – Foxsport