Inspirasi Zidane bantu Tadic singkir Real

Image result for madrid ajax 1-4

MADRID: Pemain tengah Serbia, Dusan Tadic berkata Zinedine Zidane membantunya mendapat inspirasi ketika perlawanan Ajax Amsterdam menentang juara bertahan Liga Juara-Juara yang berkesudahan pelawat itu menang 4-1 pagi tadi sekali gus mara ke suku akhir dengan aggregat 5-3.



Umpanan kemas pemain berusia 30 itu disambar Hakim Ziyech dan David Neres untuk membolehkan Ajax mendahului dua jaringan babak pertama di Bernabeu sebelum menggandakan jaringan untuk mendahului 3-0 pada babak kedua selepas permainan memasuki minit ke-62.

“Ini mungkin aksi terbaik yang pernah saya lakukan,” kata Tadic kepada media sejurus tamat perlawanan peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara, pagi tadi.

“Kami menewaskan pasukan terbaik dunia. Saya rasa bangga dan saya rasa malam ini kami menggembiarakan banyak pihak.”

Tadic, yang berpindah ke Ajax tahun lalu selepas bergelut empat musim bersama kelab Southampton di Liga Inggeris, mengetuai bahagian tengah dengan cemerlang mengatasi cabaran lawan yang diterajui trio handalan Real, Toni Kroos, Luka Modric dan Casemiro.

“Zidane memang seorang pemain yang saya gemari. Mungkin saya terlalu banyak menonton rakaman aksinya,” kata Tadic.

Ajax beraksi cemerlang pada aksi pertama di Amsterdam bulan lalu, namun tewas 1-2.




Namun ketika aksi kedua di Bernabeu pagi tadi, mereka langsung tidak melakukan kesilapan malah mempamerkan aksi mantap seolah seperti ketika zaman di bawah bimbingan Louis van Gaal yang mara ke final berturut-turut pada musim 1995 dan1996.

“Perlawanan ini hampir kepada aksi sempurna,” kata jurulatih Ajax, Erik ten Hag.

“Kami berhak melangkah selepas dua aksi yang ditunjukkan mereka, saya benar-benar puas hati dengan kemenangan ini.”

Kapten Ajax, Matthijs de Ligt berkata kejayaan itu membuatkan mereka kian teruja untuk menamatkan kemarau 24 tahun untuk menjulang trofi kelima mereka.

“Ia memang impian pasukan ini. Cara kami menyerang dan bertahan amat menakjubkan. Kami akan menyebabkan Bayern Munich pula berdepan masalah selepas ini, kami baru saja menyingkirkan juara bertahan. Siapa sangka kami akan pergi sejauh ini?” katanya. – Reuters