Hadin sedia buktikan kemampuan dalam Piala Airmarine

Image result for Hadin Azman

KUANTAN: Pemain tengah FELDA United FC, Hadin Azman yang kali terakhir mewakili skuad negara pada 2016 bersedia untuk membuktikan pilihan ketua kejurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe adalah tepat.



Bekas pemain Harimau Muda B yang sudah menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Super musim ini tidak sabar membantu skuad negara meraih kejayaan bagi saingan Piala Airmarine 2019 bermula 20 Mac ini.

“Biarpun kali terakhir beraksi bersama skuad negara pada Kejohanan Piala AFF 2016, saya yakin mampu mempamerkan persembahan terbaik bersama rakan lain.

“Dengan prestasi positif bersama The Fighters dalam saingan liga ketika ini, saya percaya dengan pengalaman yang ada, ia dapat diterjemahkan pada Piala Airmarine nanti.

“Apa yang perlu saya lakukan ialah untuk meningkatkan lagi kualiti permainan,” kata Hadin yang juga kapten FELDA United.

Ditanya peluang bersaing dengan rakan lain di bahagian tengah, Hadin akan melakukan yang terbaik untuk memikat Cheng Hoe sekiranya disenaraikan dalam skuad utama.

“Saya cuma mengharapkan prestasi lebih baik kerana kali terakhir bersama Harimau Malaya pada 2016 dan kepercayaan yang diberi dapat dipersembahkan pada kejohanan itu nanti,” katanya.

Selain Hadin, Cheng Hoe turut menyenaraikan Kenny Pallraj, Firdaus Saiyadi, Nor Azam Azih, Faiz Nasir, Abdul Halim Saari, Mohamadou Sumareh, Akram Mahinan, Syazwan Zainon dan Hafiz Ramdan di bahagian tengah.