Juventus ungguli Serie A dengan 19 mata

TURIN 9 Mac – Moise Kean membuat penampilan sulung dalam Serie A dengan penuh bergaya apabila meledak dua gol untuk membantu Juventus membenam Udinese 4-1, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad Old Lady semakin sukar digugat apabila mendahului liga dengan 19 mata meninggalkan pesaing rapat, Napoli.



Pesta gol tersebut juga pastinya menjadi tonik terbaik buat anak-anak buah Massimiliano Allegri sebelum berdepan cabaran getir Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, Selasa ini.

Juventus perlu mengalahkan Atletico dengan defisit tiga gol selepas tumpas 0-2 kepada kelab Sepanyol itu dalam aksi pertama, peringkat 16 akhir, bulan lalu.

Pada ketika tumpuan Juventus lebih terarah kepada saingan Eropah, Allegri merehatkan beberapa tonggak, termasuk Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun, Kean mengisi kekosongan bintang Portugal itu dengan sempurna apabila meletakkan tuan rumah mendahului 2-0 pada minit ke-11 dan 39.

Emre Can menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-67 untuk kedudukan 3-0, sebelum Blaise Matuidi melengkapkan gol keempat tuan rumah, empat minit kemudian.

Kevin Lasagna menjaringkan gol saguhati Udinese ketika permainan berbaki enam minit untuk ditamatkan. – AGENSI