Pahang lonjak ke persada Liga Super

PEMAIN Pahang, Norshahrul Idlan Talaha (jersi biru dan kuning) dihalang oleh pemain Kedah dalam perl

KUANTAN 8 Mac – Kelebihan bermain di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya oleh Tok Gajah apabila menewaskan skuad Helang Merah 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.

Pemain gantian Pahang, Zuhair Aizat menjadi wira Tok Gajah apabila menjaringkan gol tunggal skuad berkenaan pada minit ke-86 perlawanan.



Zuhair masuk bagi menggantikan Mohamadou Sumareh yang mengalami kecederaan.

Pahang memperoleh peluang terbaik bagi membuka jaringan pada minit ke-30 apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun bola sepakan Nor Sharul Idlan Talaha berjaya ditepis penjaga Gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.




Kedah juga memiliki beberapa peluang terbaik membolos gawang tuan rumah terutama menerusi importnya, Fernando Rodriguez pada minit ke-48, namun bola tandukan pemain itu melepasi gawang Tok Gajah.

Tamat perlawanan, Pahang berjaya memperoleh tiga mata penuh dalam aksi di laman sendiri sekali gus melonjak ke tangga teratas kedudukan Liga Super mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan bermain esok.

Bagi Helang Merah, keputusan itu merupakan kekalahan pertama skuad berkenaan dalam aksi Liga Super musim ini. – UTUSAN