Real Madrid tekad sambar Neymar

Image result for neymar real madrid

MADRID: Real Madrid bersedia membayar 300 juta pound (RM1.6 bilion) bagi mendapatkan bintang Paris Saint-Germain, Neymar.



Pemain Brazil itu sudah lama berada dalam radar Madrid dan kini presiden kelab Florentino Perez akan memastikan Neymar berjaya dibawa ke Bernabeu.

Perez sudah hilang sabar dengan memberikan peluang kepada pemain-pemain muda dan kini bersedia untuk bertindak berikutan penyingkiran memalukan Madrid daripada kancah Liga Juara-Juara di tangan Ajax awal minggu ini.

Madrid dikatakan bersedia dengan jumlah yang bakal memecahkan rekod perpindahan dunia itu bagi mendapatkan Neymar dan sanggup membayarnya 40 juta pound (RM212.8 juta) untuk tempoh lima musim, mengatasi gaji Lionel Messi yang kini tertinggi di dunia.

Penyokong Madrid terdesak mahu menyaksikan pemain bintang mengisi kekosongan ditinggalkan Cristiano Ronaldo, yang tidak digantikan selepas menyertai Juventus pada harga 100 juta pound (RM531.9 juta) musim panas lalu.

Difahamkan Perez yakin usaha mendapatkan Neymar mampu menjadi kenyataan walaupun PSG berkeras tidak mahu melepaskan bintangnya itu, selain bintang Chelsea Eden Hazard turut berada dalam radar Madrid.

Laporan mengatakan Neymar masih belum dapat menyesuaikan diri di Paris dan mungkin akan memikirkan semula masa depannya selepas melihat impian Liga Juara-Juaranya berakhir musim ini susulan kekalahan 3-1 kepada Manchester United. – AGENSI