Arsenal beri kekalahan domestik pertama buat Solskjaer

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer menyalahkan Manchester United kerana kurang kesungguhan ketika pengendali dari Norway itu mengalami kekalahan domestik pertama selaku pemangku pengurus apabila pasukannya tewas 2-0 kepada Arsenal awal pagi tadi.

Jaringan awal Granit Xhaka dan penalti Pierre Emerick-Aubameyang 21 minit sebelum tamat menyaksikan Gunners mengatasi United ke kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana.



Skuad kendalian Unai Emery juga hanya satu mata di belakang pasukan tangga ketiga, Tottenham dan kini memiliki kelebihan bagi pemburuan ke Liga Juara-Juara.

Arsenal tidak akan berdepan mana-mana pasukan dalam kelompok enam teratas dalam baki lapan perlawanan liga manakala United menanti kehadiran Manchester City dan Chelsea dalam minggu-minggu selepas ini selain berdepan saingan Liga Juara-Juara dan Piala FA.

“Anda perlu kecewa dengan keputusan ini, tapi persembahan adalah bagus,” kata Solskjaer.

“Gol pertama selalu menunjukkan bagaimana perlawanan akan berlangsung. Kami mencipta peluang, peluang besar, terkena palang dua kali, (Bernd) Leno bermain baik.

“Dalam aspek apa yang boleh kita kawal, kami tidak seharusnya rasa terlalu kecewa.”

Kunjungan ke Perancis untuk kedua-dua pasukan pada pertengahan minggu menghasilkan keputusan berbeza ketika United mengejutkan pasukan mewah Paris Saint-Germain 3-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Gunners sebaliknya tewas 3-1 kepada Rennes menyebabkan mereka perlu berdepan cabaran besar pada saingan pusingan kedua awal pagi Jumaat ini untuk mara ke kelompok lapan terakhhir Liga Europa.

Emery melakukan lima perubahan daripada skuad berkenaan dan hasilnya kemenangan penting.

“Kami akan bermain perlawanan sukar dan menjadi konsisten adalah sangat penting,” kata Emery. “Pada ketika ini saya rasa kami bermain konsisten, tapi kami perlu tenang dan bersabar.” – AFP