Sarkozy bantu Qatar jadi tuan rumah – Blatter

LAUSANNE, Switzerland: Bekas presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter mendakwa mantan presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memainkan peranan utama membantu Qatar memenangi undian sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

Blatter mendedahkan perkara itu sehari selepas wujud tekanan yang mendesak supaya FIFA melancarkan siasatan ke atas satu perjanjian sulit mengenai bayaran kontrak oleh stesen TV Al-Jazeera milik Qatar yang didakwa ada unsur rasuah.



Dokumen perjanjian yang diterbitkan oleh akhbar Britain, The Sunday Times menunjukkan bahawa Eksekutif Al-Jazeera menandatangani surat kontrak berkenaan sebelum proses bidaan Piala Dunia selesai dilakukan.

Blatter turut mendedahkan bahawa bekas presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Michel Platini turut berperanan memberikan sokongan kepada bidaan Qatar hingga sanggup mengatur siri serangan ke atasnya hingga menyebabkannya terpaksa berundur daripada badan bola sepak itu selepas menerajuinya selama 17 tahun.

“Qatar diberikan hak tuan rumah Piala Dunia 2022 hasil campur tangan politik presiden Nicolas Sarkozy yang meminta Michel Platini dan kumpulan penyokongnya memberi sokongan dengan mengundi Qatar,” kata Blatter.

“Empat undi ini memihak Qatar menewaskan Amerika Syarikat. Situasi itu menyebabkan pihak yang kalah melancarkan serangan balas ke atas FIFA dan saya sendiri secara peribadi menjadi mangsa daripada England terutamanya selepas mereka kalah kepada bidaan Russia untuk Piala Dunia 2018 dan Amerika Syarikat yang kalah kepada Qatar,” katanya.

Pada bidaan Piala Dunia 2018, England tewas dalam undian pusingan pertama lagi meskipun kempen besar-besaran diketuai Perdana Menterinya ketika itu, David Cameron dan Putera William. Russia seterusnya menewaskan bidaan tuan rumah bersama Sepanyol-Portugal dengan kelebihan dua undi pada undian pusingan kedua.

Bagi Piala Dunia edisi 2022, Qatar menyapu 11 daripada 22 undi menewaskan AS, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

Undian berkenaan mencetuskan kontroversi susulan separuh daripada perwakilan FIFA yang melakukan undian memihak Qatar itu sama ada sudah digantung, didenda atas dakwaan rasuah malah ada yang diharamkan aktif seumur hidup.

The Sunday Times juga mendakwa kontrak stesen Al-Jazeera itu termasuk janji bayaran yuran AS$100 juta (RM420 juta) yang akan dikreditkan ke akaun khas FIFA jika Qatar mendapat hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

Undian Piala Dunia Qatar berlaku pada Disember 2010. – AFP