Budak 11 tahun pun kutuk saya – Sathia

Image result for Sathianathan

KUALA LUMPUR 12 Mac – Ketua Jurulatih Sela­ngor, B. Sathianathan mendedahkan sepanjang pasukannya gagal mencatat kemenangan dalam lima aksi Liga Super, beliau sering menerima kutukan berbaur perkauman daripada penyokong, malah ada yang dilakukan oleh kanak-kanak.

Bagaimanapun, bekas jurulatih kebangsaan itu tidak kisah dan rela menerima semua tekanan daripada penyokong dan media, asalkan bukan pemainnya.



“Anda letak semua perkara dalam Facebook…jangan cakap. Budak 11 tahun pun kutuk saya menggunakan elemen perkauman. Sangat perkauman.

“Saya boleh nampak kutukan berbaur perkauman se­ring berlaku terhadap jurulatih tempatan.

“Bagaimanapun, biar saya seorang sahaja yang hadap semua tekanan ini sebab saya memang selalu melindungi pemain,” katanya kepada pemberita selepas Selangor mencatat kemenangan pertama liga menewaskan Kuala Lumpur 3-2 di Stadium Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Sepanjang tempoh Sela­ngor gagal melakar kemena­ngan, Sathianathan tidak faham mengapa pengendali dari luar sering dikaitkan untuk mengambil tempatnya tetapi bukan jurulatih tempatan.

“Media akan tulis jika Se­langor kalah hari ini (Ahad lalu) tempat saya akan digantikan dengan Mario Gomez (bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT)). Orang tua itu buat apa di Indonesia? Anda (media) periksa semula.

“Kalau orang putih (luar negara) semuanya tulis bagus-bagus. Kenapa tidak cakap jurulatih tempatan ganti tempat saya?

“Kenapa mahu kaitkan dengan jurulatih dari luar negara? Bukan nak kutuk tetapi kenapa media selalu mainkan isu Mario Gomez, Bojan Hodak dan (Ramon) Marcote?

“Kenapa tidak kaitkan de­ngan jurulatih tempatan? Periksa semula.

“Pasukan yang memenangi piala menggunakan jurulatih dari luar negara selain JDT adalah Selangor dan Perak (jurulatih yang sama iaitu Mehmet Durakovic) dalam tahun kebelakangan ini. Selebihnya jurulatih tempatan,” katanya lagi.