VIDEO Jaringan hatrik, Ronaldo tidak merindui Sepanyol

TURIN 13 Mac – Bintang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo sama sekali tidak menyesal meninggalkan Sepanyol, negara yang menyaksikan dia beraksi selama sembilan tahun bersama Real Madrid.

Penyerang berusia 34 tahun itu meninggalkan gergasi La Liga untuk menyertai gergasi Serie A, Juventus.



Musim pertamanya bersama Juventus selaku penyerang sangat memberangsangkan apabila berjaya meledak 21 gol dalam semua pertandingan.

“Tidak sukar untuk saya menyesuaikan diri dengan budaya atau negara lain.

“Saya sama sekali tidak merindui Sepanyol atau Portugal, kerana ia tetap di sana. Jelas sekali banyak kawan-kawan dan kelab besar saya tinggalkan tetapi saya tidak merindui negara itu.

“Saya sentiasa tinggal di luar negara sejak berusia 11 tahun. Saya tiada masalah menyesuaikan diri dengan negara lain. Saya ke England (beraksi bersama Manchester United) ketika berusia 18 tahun, Madrid ketika berusia 25 tahun dan ke Turin ketika menjangkau usia 33 tahun,” katanya.

Ronaldo menampilkan aksi cemerlang awal pagi tadi apabila membantu Juventus bangkit menundukkan Atletico Madrid yang mendahului 2-0 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.-AGENSI