Mario Gomez akui dirisik kelab Liga Malaysia

Kelibat Mario Gomez mungkin akan dapat disaksikan semula dalam kancah Liga Malaysia setelah bekas jurulatih Johor Darul Takzim (JDT) itu mengakui telah dihubungi oleh pasukan dari negara ini yang menyatakan minat memancing khidmatnya.

Mario Gomez kini tidak membimbing sebarang kelab selepas ditamatkan kontrak oleh Persib Bandung pada Disember lalu dan spekulasi kedatangan semulanya ke Malaysia bertiup kencang apabila dikaitkan dengan Selangor sebagai pengganti B.Sathianathan.



Dia yang membantu skuad Harimau Selatan memenangi kejuaraan berganda Liga Super dan Piala AFC 2015 bagaimanapun mengambil pendekatan belum mahu mendedahkan identiti pasukan tersebut namun tidak menolak kemungkinan akan menerima tawaran tersebut.

“Sudah pasti saya gembira untuk kembali melatih pasukan di Liga Super. Tetapi saya tidak mahu bercerita lebih kerana perbincangan itu masih menemui kata putus. Siapa pasukan itu biarlah rahsia kerana saya menghormati semua pihak. Jika ada rezeki (membimbing pasukan Liga Malaysia), saya akan umumkan tetapi buat masa ini, tiada apa-apa rasmi secara hitam putih (dalam perjanjian),” kata Mario Gomez ketika dihubungi di Buenos Aires, Argentina pada Rabu.

“Liga Malaysia sentiasa istimewa di hati saya apatah lagi pengalaman manis saya bersama JDT ketika berada di sana. Tipu jika saya mengatakan tidak berminat untuk bermain di Liga Malaysia nanti.
“Liga Malaysia memiliki tarikan tersendiri. Imej Liga Malaysia sudah semakin terkenal dan ramai pemain-pemain khusus dari Asia Tenggara mahu bermain di sini. Jadi, sudah pasti saya mahu kembali jika dapat peluang itu,” tambahnya.

Buat masa ini hanya sebuah pasukan Liga Super iaitu Kuala Lumpur yang tidak mempunyai jurulatih berikutan peletakan jawatan Yusri Che Lah, namun nama Mario Gomez dilihat tiada dalam radar Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur yang dilaporkan lebih cenderung mendapatkan khidmat bekas jurulatih mereka Fabio Maciel.

Justeru Mario Gomez hebat dikaitkan dengan Selangor memandangkan pasukan itu gagal mencatat kemenangan dalam lima aksi pertama Liga Super, sebelum tekanan terhadap Sathianathan sedikit reda berikutan kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur pada minggu lalu.