Kelayakan AFC B23: OKS teruja dapat kumpul pemain terbaik Bawah 23 Tahun

Ketua jurulatih Malaysia Bawah 23 (B23) Tahun, Datuk Ong Kim Swee teruja apabila kesemua pemain-pemain yang mendapat panggilan telah melaporkan diri. Antara yang terakhir melaporkan diri ialah Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Dominic Tan, Haziq Nadzli, Syahmi Safari serta Hadi Fayyadh.

“semua pemain sudah melaporkan diri. Saya lihat ini sebagai petanda cukup positif dan merupakan kali pertama kita dapat mengumpulkan semua pemain terbaik negara untuk mengharungi aksi kelayakan itu.



“Justeru, saya harap barisan pemain dapat bersiap sedia dan memberi fokus lebih baik pada sesi latihan sebelum bermulanya kempen menentang Filipina pada 22 Mac nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di sini semalam.” katanya seperti dipetik daripada Kosmo!

Pada pusingan kelayakan, anak buah Datuk Ong Kim Swee diundi dalam Kumpulan J bersama-sama Filipina B23, Laos B23 dan China B23 dan dijadualkan menentang pasukan tersebut masing-masing pada 22hb, 24hb dan 26hb Mac di Stadium Shah Alam.

Sebelum mengharungi tiga perlawanan tersebut, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah merangka satu perlawanan persahabatan menentang Australia B23 sebagai aksi ‘pemanas badan’ buat Harimau Muda.

Kim Swee menyifatkan pemilihan pasukan The Socceroos adalah tepat dan menyamai kekuatan yang ada pada China B23 – pencabar terkuat dalam saingan Kumpulan J.

“Australia memiliki persamaan dari segi kualiti dengan China dan ini terbukti apabila mereka (Australia) layak secara automatik pada Sukan Olimpik. Jadi, saya anggap perlawanan itu nanti sebagai medan ujian bagi menguji kombinasi terbaik pemain,” katanya.

Untuk layak ke saingan AFC B23 pada tahun hadapan, Harimau Muda perlu muncul sebagai juara kumpulan ataupun menempatkan diri sekurang-kurangnya empat terbaik dalam kalangan naib juara.