Paul Scholes hanya 31 hari bersama Oldham

LONDON: Bekas bintang Manchester United, Paul Scholes meletakkan jawatan sebagai pengurus Oldham, semalam selepas 31 hari memegang jawatan berkenaan bersama kelab Liga Dua Inggeris itu.



Scholes meninggalkan Boundary Park selepas kelab yang beroperasi tempat kelahirannya itu didakwa tidak mengotakan janji yang dibuat sebelum ini.

Pengurus berusia 44 tahun mengambil alih tugas pengurus di Oldham pada bulan lalu dan memenangi perlawanan pertamanya.

Begitupun, bekas pemain tengah England itu gagal meraih kemenangan dalam enam perlawanan berikutnya dan kini menghuni tangga ke-14 liga divisyen empat Inggeris itu.

“Satu penyesalan yang besar kerana saya perlu meninggalkan kelab secara serta merta,” kata Scholes dalam satu kenyataan.

“Saya sehingga penghujung berharap untuk melihat tempoh 18 bulan dalam kontrak saya sebagai pengurus kelab yang saya sokong seumur hidup saya ini dapat bertahan. Peminat, pemain-pemain, rakan dan keluarga saya semuanya tahu betapa bangganya saya dengan peranan ini.

“Malangnya dalam tempoh yang singkat sejak saya mengambil alih peranan ini ia menjadi jelas yang saya tidak akan mampu beroperasi seperti yang saya mahukan sebelum saya bersetuju memikul tanggungjawab ini.

“Saya mengucapkan selamat kepada peminat-peminat, pemain dan staf, yang semuanya menakjubkan untuk mengharungi baki musim ini dan akan terus menonton dan menyokong kelab ini sebagai peminat.”

Sebelum bersetuju mengendali Oldham pada 11 Februari lalu, Scholes meletakkan jawatan sebagai pengarah kelab bukan liga, Salford.

Kenyataan pemain yang melakukan 718 penampilan bersama United dan menjaringkan 155 gol dalam semua penampilan untuk kelab itu dilihat bercanggah dengan pemilik Oldham, Abdallah Lemsagam yang berjanji akan menyokongnya 100 peratus. – AFP