FAM menuntut penjelasan daripada Bojan

Bojan Hodak dikenali sebagai seorang jurulatih yang suka bercakap jujur, dan lantang menyuarakan pendapat, tetapi tidak semua yang akan bersetuju dengannya dan tidak semua pendapat boleh dinyatakan secara terbuka.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap tindakan pengendali skuad bawah 19 tahun negara itu menyelar kualiti pemain dan membidas sistem pembangunan bolasepak negara susulan kegagalan mendapatkan keputusan positif di Piala Sanix 2019, sebagai langsung tidak bertanggungjawab.



Justeru, FAM menuntut penjelasan daripada pengendali kelahiran Croatia itu sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut ke atasnya.

“Itu bukan cara yang betul untuk menyatakan pendapat, benda ni (sistem tak betul) hanya dicanang bila kalah atau tak dapat keputusan yang baik. Bila menang, sebagai contoh menjuarai AFF B-19 tahun lalu dengan menggunakan pemain daripada sistem yang sama, ia tidak dibangkitkan.

“Seeloknya kalau dia ada masalah mengenai persiapan atau masalah lain, dia maklumkan kepada kami atau Pengarah Teknikal, Peter De Roo. Ini bukan cara jurulatih professional bekerja, ia seolah mencari alasan menutup kegagalan.

“Kita amat kesal dengan apa yang Bojan Hodak lontarkan. Kita melihat perkara ini secara serius dan menuntut penjelasannya mengenai kenyataan itu ssbelum membincangkan mengenai tindakan yang perlu diambil,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Sebagai rekod, Khamis lalu sejurus kekalahan 0-5 kepada pasukan remaja Sagan Tosu, Bojan Hodak menyatakan kualiti pasukan negara terlalu jauh ketinggalan berbanding pasukan remaja lain yang mengambil bahagian di Piala Sanix 2019.

Menurutnya rata-rata mereka setanding pasukan senior dan menganggap ianya disebabkan sistem yang tidak betul – kelewatan memulakan persiapan dan kurangnya pendedahan di peringkat antarabangsa.

Malah dia turut menyatakan akan menggugurkan pemain sedia ada dan merekrut wajah-wajah baru ke dalam skuad menjelang Piala AFF B-18 pada Ogos depan.

Skuad negara tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan dan tidak menjaringkan sebarang gol, namun mencatat kemenangan 2-1 ke atas skuad remaja V-Varen Nagasaki dalam perlawanan penentuan tempat ke-9 hingga 12.