Piala Airmarine: Cheng Hoe tagih sokongan sepertimana Piala AFF 2018

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyeru sokongan penuh para penyokong Harimau Malaya untuk turun membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada kejuaraan Piala Airmarine yang akan bermula pada 20hb Mac, sepertimana kejuaraan Piala AFF 2018 lalu.

Malaysia dijadualkan menentang Singapura dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Airmarine dan kehadiran penonton akan memberikan mereka motivasi tambahan untuk mara ke perlawanan akhir menentang samada Oman atau Afghanistan pada 23hb kelak.



“Memang harapan pemain supaya penyokong datang beri sokongan sama seperti pada Piala AFF Suzuki sebelum ini, dan ini memberi satu motivasi tinggi dan keyakinan pemain bertambah, walaupun kita tahu kadang kala, pemain tidak beraksi dengan baik,” katanya seperti dipetik daripada Bernama.

Pada masa yang sama, Pengarah Teknikal Piala Airmarine, M. Gopal turut mendedahkan bahawa rakan penjualan tiket, Pro Events International Sdn Bhd telah membuat keputusan untuk memberikan diskaun sebanyak RM25 setiap keping tiket kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Dan ianya terhad kepada 5,000 pelajar sahaja. Katanya, “promosi ini hanya terpakai untuk pelajar berusia 18 tahun ke bawah dan mereka perlu membawa kad pengenalan pelajar mereka ketika membuat pembelian,”

Keputusan ini diharapkan dapat menarik lebih ramai penyokong untuk turun memberikan sokongan kepada Harimau Malaya dalam saingan empat negara yang julung kali diadakan.