Real Madrid sedia tawar kontrak RM380 juta kepada Eden Hazard

Image result for Hazard real

LONDON 16 Mac – Real Madrid bersedia untuk menawarkan kontrak bernilai 70 juta pound (RM380 juta) kepada Eden Hazard dalam usaha mereka untuk menarik bintang Belgium itu ke Bernabeu.

Chelsea hampir pasti menolak bidaan pertama Real itu kerana mereka mahukan sekurang-kurangnya 100 juta pound (RM542 juta).



Menurut media British, The Sun, wakil Real telah melawat London dan memulakan perbincangan bagi mendapatkan Hazard yang sebelum ini tanpa berselindung mahu beraksi bersama kelab Sepanyol itu.

Zinedine Zidane yang kembali menyertai Real menguatkan lagi cakap-cakap mengenai Hazard akan berpindah ke kelab tersebut pada musim panas ini.




Hazard, 28, telah menolak beberapa tawaran kontrak daripada Chelsea yang boleh menjadikannya sebagai pemain paling mahal dalam sejarah kelab tersebut.

Jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri berkata dia tidak tahu apa-apa mengenai khabar angin tersebut.

“Anda perlu tanya kepada Hazard, saya fikir. Saya tidak tahu. Saya tidak bercakap dengan Eden mengenai Zidane. Saya tidak bimbang sebab anda tahu pandangan saya.

“Saya hanya mahukan pemain yang mahu beraksi untuk Chelsea, jadi saya tidak bimbang,” katanya. – AGENSI