Piala FA: City bangkit tewaskan Swansea, Aguero bangga semangat juang pemain

PEP GUARDIOLA (tengah) mengucapkan tahniah kepada dua penyerang

SWANSEA 17 Mac – Sergio Aguero mengagumi semangat juang yang dipamerkan Manchester City untuk bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Swansea 3-2 dalam saingan suku akhir Piala FA, sekali gus menghidupkan peluang untuk mereka mengaut gelaran secara quadruple.



“Ada kalanya kebangkitan sebegini akan berlaku. Sangat penting untuk kami mara ke separuh akhir. Kami sangat gembira.

“Kami selalu percaya ia (kebangkitan) akan berlaku, kami sentiasa ingin berjuang,” kata Aguero kepada BT Sport.

City sudahpun memenangi kempen Piala Liga, berada di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris, mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dan kemenangan hari ini di South Wales terus menghidupkan peluang mereka untuk membolot empat gelaran musim ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola bangkit daripada ketinggalan dua jaringan pada separuh masa pertama sebelum meledak tiga gol pada babak kedua dengan penyerang, Sergio Aguero menyumbat gol kemenangan.

Kelab dari divisyen kedua, Swansea meraih permulaan baik apabila mendahului City 2-0 menerusi penalti Matt Grimes dan jaringan Bersant Celina.

Bernardo Silva bagaimanapun merapatkan kedudukan pada minit ke-69 sebelum City menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti daripada Aguero, 9 minit kemudian.

Penyerang kebangsaan Argentina itu dinobatkan sebagai wira selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88.- AFP