Bapa Stefan Petrovski dedah kisah sebenar di sebalik kematian anaknya, tuntut ganti rugi dari Melaka United

Ini satu kisah yang menyayat hati. Kisah mengenai bagaimana bapa kepada penjaga gol muda dari Australia, Stefan Petrovski, yang pengsan apabila mendengar berita mengenai anaknya yang disambar petir dan berada dalam keadaan koma.

Kini, selepas melalui detik sukar di mana dia tidak berkerja, tiada tempat tinggal dan terpaksa tidur di dalam keretanya, Marco Petrovski kini mahu mendapatkan pembelaan untuk mendiang anaknya, yang dia percaya terkorban kerana kealpaan.



Stefan meninggal dunia tiga tahun lalu, apabila tiang gol di mana dia sedang berdiri di sebelah telah disambar petir, ketika pemain remaja dari Sydney itu berlatih bersama Melaka United.

Mimpi ngeri Marco bermula pada malam 5 April 2016. Marco masuk ke kamar tidur awal kerana perlu berkerja keesokan harinya.Tetapi, dia terbangun pada jam 7 malam, dengan satu perasaan kurang enak- bagaikan satu petanda.

Kredit foto: Fox Sports Australia

“Saya terlepas sekitar 30 panggilan daripada rakan karib Stefan, Aedon Kyra. Aedon dan bapanya, Peter, bersama salah seorang wakil Stefan telah mengetuk pintu saya pada pukul 8 malam. Sebaik saja saya melihat mereka, saya terus bertanya adakah Stefan sudah mati. Saya tahu satu perkara buruk telah berlaku. Rupa-rupanya saya pengsan ketika mereka menceritakan apa yang berlaku. Mereka mengejutkan saya, tetapi saya diserang perasaan panik.” kata Marco.

Versi asal seperti dinyatakan oleh Melaka United – di mana Stefan sedang berlatih bersama skuad utama – adalah selepas dia disambar petir, adalah dia diberikan CPR oleh physio pasukan, yang turut disambar. Ianya satu versi yang tidak diterima Marco.

“Tiada CPR yang diberikan – jika ianya betul, dia pasti hidup. Punca kematiannya adalah kerana kekurangan oksigen ke otak. Tiada doktor di kawasan itu, dan tiada ambulans yang dipanggil. Mereka membawa Stefan menggunakan kenderaan persendirian ketika waktu puncak di Melaka. Mereka mengambil masa 45 minit  untuk tiba di hospital. Dia sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Mereka dapat membangunkannya kembali (di hospital) dan organnya kembali berfungsi, tetapi otaknya sudah pun mati ketika itu.” tambah Marco.

Stefan Petrovski terlantar dalam keadaan koma selama tiga setengah minggu, tetapi keluarga mendiang diberitahu selepas sepuluh hari bahawa dia hanya ada 1% peratus peluang untuk hidup. Stefan meninggal dunia pada 1 Mei 2016.

Mayat Stefan dibawa pulang ke Sydney dengan majlis pengebumiannya berlangsung pada 16 Mei 2016. Stefan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di La Perouse, kerana dia sangat suka melihat pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Sydney. Marco meggambarkan keadaan tersebut bagaikan ‘berada di neraka’ – dan rupanya keadaan akan menjadi lebih buruk.

Kredit foto: Fox Sports Australia

“Saya terpaksa meninggalkan Sydney. Saya berada di Serbia selama tiga bulan kerana terlalu banyak memori yang pahit buat saya. Saya cuba berkerja, tetapi kesakitan itu sangat dalam. Saya kehilangan pekerjaan, kemudian apartment saya, dan saya akhirnya menjadi gelandangan. Saya hilang segalanya, termasuk cinta saya pada bolasepak. Saya menjadikan kereta saya sebagai tempat tinggal sehingga teman-teman saya datang membantu. Keluarga Kyra telah membantu saya dari segi kewangan, termasuk (bekas pemain Australia) Scott Ollerenshaw, yang merupakan ejen Stefan di Malaysia. Dia bagaikan keluarga saya – sentiasa ada,” kata Marco lagi.

“Untuk beberapa ketika, terlintas di fikiran saya untuk melakukan perkara buruk. Tekanan dan kesedihan yang saya alami cukup menyeksa – di mana ia membuatkan anda hilang sifat kemanusiaan. Tetapi sekarang itu semua sudah tiada.” ujar Marco.

Salah satu sebab untuk Marco meneruskan hidup, adalah pembelaan untuk anaknya, bermula dengan proses menyaman pasukan (dan Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana kecuaian dan kerosakan. Ianya satu perjalanan yang penuh onak dan duri.

“Selepas kematiannya, Melaka United telah berjanji akan membayar baki gajinya (sekitar RM 644,630). Mereka hanya membuat bayaran pada bulan pertama, jadi kami kini menuntuk bakinya, ganti rugi teladan, daripada semua pihak yang bertanggungjawab termasuk ahli lembaga kelab dan ahli lembaga FAM. Mereka memberikan lesen kepada kelab, dan menetapkan tahap keselamatan, di mana mereka gagal (kerana tidak menyediakan persekitaran berkerja yang selamat).”

Salah satu aspek yang dinyatakan dalam Peraturan Lesen Kelab FAM adalah mengenai sambaran petir, termasuk keperluan untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang doktor dalam semua sesi latihan dan perlawanan.

“Mereka menyatakan ini kuasa Tuhan, tetapi sebenarnya tragedi ini boleh dielak dari awal lagi.” kata Marco yang turut menyatakan Melaka United masih belum menghubunginya kembali sejak dia kembali ke Australia, hampir tiga tahun lalu.

Stefan Petrovski merupakan seorang penjaga gol muda yang berbakat dan telah berhijrah ke Malaysia daripada pasukan Sydney Olympic – kerana mempunyai dua kewarganegaraan menerusi ibunya yang merupakan rakyat Malaysia – dan juga cintanya pada bolasepak tertanam menerusi bapanya,yang membawa Stefan menyaksikan perlawanan melibatkan Real Madrid, Red Star Belgrade dan pasukan kegemarannya, Arsenal di Eropah.

“Kami bagaikan adik beradik. Dia sedang melakukan perkara yang sangat dicintainya dan tragedi ini berlaku. Sehingga kini, saya bermimpi tentangnya setiap malam dan air mata saya akan berlinang. Saya jarang menziarahi kuburnya. Saya hanya kuncikan segala memori mengenai Stefan di jiwa dan minda saya,” kata Marco yang kini kembali memiliki sebuah rumah hasil bantuan Kyra.

Marco kini juga sedang berkerjasama dengan PFA, yang kini sedang menaja siasatan berkenaan keselamatan pemain, terutamanya di Asia. Mereka berharap ini dapat membangkitkan satu senarai cadangan untuk FIFA sertakan dalam statut mereka. Ini sangat penting, selepas seorang lagi pemain – Rohimullah Abdul Zalil – yang turut terkorba selepas disambar petir ketika berada di atas padang di Malaysia awal bulan ini.

“Jika saya berjaya dengan tuntutan ini dan mendapat penutup, baru saya boleh teruskan hidup. Saya mahu jadikan ini legasi Stefan, dan kemudian baru saya boleh lakukan yang lebih untuk hidup saya. Saya berusia 50 tahun pada tahun ini – saya perlu hidup dengan sepenuhnya. Saya tidak boleh berduka seumur hidup saya – Stefan pasti tidak akan membenarkannya.” tutup Marco.

Kredit foto dan artikel: Simon Hill dan Fox Sports Australia