Piala Airmarine: Tan Cheng Hoe nafi kekurangan penyokong punca Malaysia tewas

Image may contain: 1 person, glasses

Kekurangan penyokong bukan satu alasan.

Itulah yang dinyatakan oleh ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe selepas kekalahan skuad negara kepada Singapura dalam aksi Piala Airmarine di Stadium Nasional Bukit Jalil.



Kehadiran penyokong yang sangat mengecewakan dianggap memainkan peranan terhadap kekalahan itu, tetapi bagi Tan Cheng Hoe, itu bukan satu alasan untuk mereka tewas.

“Saya sudah beritahu pemain saya bahawa tidak kira berapa ramai penyokong yang turun pun kami perlu berikan yang terbaik. Ya, mungkin kalau stadium dipenuhi penyokong ia akan menjadi motivasi tambahan buat kami, tetapi itu bukan alasan untuk kami tewas.

“Kami bermula dengan agak perlahan di awal permainan dan Singapura nampak lebih bersemangat. Kami cuba menyerang di separuh masa kedua, tetapi satu kesilapan telah menghukum kami. Pemain seakan-akan hilang fokus di separuh masa pertama dan tidak pantas ketika menyerang. Kami perlu beraksi lebih baik ketika bertemu Afghanistan nanti.”

Image may contain: 2 people, people playing sport, stadium and outdoor

Namun begitu, Tan Cheng Hoe mengakui ketiadaan beberapa pemain tonggak ketika Piala AFF Suzuki yang lalu ekoran kecederaan dan menyertai skuad bawah 23 tahun negara menjejaskan pasukannya.

“Kita boleh nampak corak permainan kami terjejas. Mana-mana pasukan pun akan terganggu dengan ketiadaan begitu ramai pemain.

“Untuk perlawanan berdepan Afghanistan, saya akan dapatkan nasihat daripada physio dulu mengenai keadaan pemain, tapi saya mungkin akan membuat 1-2 perubahan kepada pasukan.”

Ekoran kekalahan 0-1 kepada Singapura itu, Malaysia akan beraksi dalam perebutan tempat ke-3 menentang Afghanistan yang tewas 0-5 kepada Oman dalam perlawanan pertama Piala Airmarine 2019.